PERSIDANGAN TAHUNAN KE-12 PASUKAN TINDAK BALAS KECEMASAN KOMPUTER - PERTUBUHAN KERJASAMA ISLAM (OIC-CERT), CYBERJAYA

 

Pada 23 - 25 November 2020, CyberSecurity Malaysia selaku Sekretariat Tetap OIC-CERT telah menganjurkan Persidangan Tahunan Ke-12 OIC-CERT 2020 secara dalam talian di Cyberjaya.

Persidangan yang bertemakan “Cyber Security Strategies & Practices During COVID-19 Crisis” ini bertujuan menyediakan platform untuk negara-negara anggota membincangkan halatuju strategi dan cabaran bidang keselamatan siber.

Seramai 16 penceramah terdiri dari golongan pakar industri keselamatan siber daripada 12 negara terlibat dalam persidangan ini. Acara dimulakan dengan ucapan aluan oleh Eng. Bader Al-Salehi, Pengerusi OIC-CERT / Director General, Oman National CERT manakala perasmian pula disempurnakan oleh YB Datuk Zahidi bin Zainul Abidin, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

Pada hari kedua persidangan, ucapan aluan telah dibuat oleh Dr. Adil Rajput, Director of Information Technology, Organization of Islamic Cooperation, Jeddah, Kingdom of Saudi Arabia manakala Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Mohd Azumi bin Mohamed (Bersara), Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah, CyberSecurity Malaysia telah memberikan ucaptama. Antara penceramah jemputan adalah Dato’ Ts. Dr. Haji Amirudin Abdul Wahab dari CyberSecurity Malaysia, Abdul Hakeem Ajijola dari CS2, Nigeria, Jacomo Piccolini dari Team Cymru dan Aloysius Cheang dari Huawei.

Persidangan tahunan ini telah dapat menonjolkan sumbangan penting serta peranan yang dimainkan oleh Malaysia dalam bidang keselamatan siber di peringkat antarabangsa selain mengeratkan jalinan kerjasama dengan negara-negara anggota OIC dan Asia Pasifik.

WEBINAR PERSIJILAN GLOBAL ACE: “CERTIFYING CYBER SECURITY PROFESSIONALS TOWARDS THE INDUSTRIAL REVOLUTION 4.0”, CYBERJAYA

 

Pada 25 November 2020, CyberSecurity Malaysia telah menganjurkan Seminar Persijilan Global ACE dengan tema, “Certifying Cyber Security Professionals Towards the Industrial Revolution 4.0”.

Seminar maya ini adalah salah satu Satellite Event bagi Persidangan Tahunan Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer – Pertubuhan Persidangan Islam (OIC-CERT) 2020 kali ke-12 yang berfungsi sebagai pelantar untuk memahami keperluan profesional keselamatan siber menuju revolusi industri keempat.

Seminar maya ini disertai oleh Lt Kol Mustafa Ahmad, Naib Presiden Kanan, Bahagian Outreach dan Pembangunan Kapasiti selaku moderator manakala ahli panel pula terdiri dari Ts. Dr. Zahri Yunos, Ketua Pegawai Operasi CyberSecurity Malaysia, Raj Kumar Kunhiraman, Ketua Pegawai Eksekutif Cyber Inteligence dan Prof. Ts. Dr. Rabiah binti Ahmad dari Universiti Teknikal Malaysia Melaka. Seminar maya ini disiarkan secara langsung melalui platform YouTube Live.

Melalui penganjuran seminar maya ini CyberSecurity Malaysia telah dapat mendedahkan para peserta mengenai revolusi industri keempat dan Persijilan Global ACE.

MAJLIS PENERANGAN DAN KURSUS PENYEGARAN DIPLOMA LANJUTAN PENGUJIAN & PENILAIAN PENEMBUSAN KESELAMATAN SIBER

 

Pada 26 dan 27 Oktober 2020, CyberSecurity Malaysia dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) menganjurkan sesi penerangan dan kursus penyegaran bagi Diploma Lanjutan Pengujian & Penilaian Penembusan Keselamatan Siber.

Acara ini diadakan secara dalam talian untuk memberi kesedaran dan penerangan tentang Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan bidang Ujian dan Penilaian Penembusan Keselamatan Siber.

Zafreida Zahrullayali, Eksekutif Kanan Jabatan Pembangunan Profesional Keselamatan Siber mewakili CyberSecurity Malaysia, dan membuat pembentangan bertajuk “Modular Professional Certification for the Advanced Diploma in Cyber Security Penetration Testing & Assessment”.

Melalui penganjuran acara ini, CyberSecurity Malaysia telah dapat mempromosikan program Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) dan bidang Ujian dan Penilaian Penembusan Keselamatan Siber serta pendedahkan terhadap latihan keselamatan di bawah Persijilan Global ACE.