ServerProtect bantu lindungi Linux daripada ancaman virus
15th November 2001 (Utsuan Malaysia)

Syarikat Trend Micro Inc., antara pemimpin industri teknologi keselamatan kandungan Internet dan anti virus rangkaian global baru-baru ini mengumumkan pengenalan perisian perlindungan ancaman serangan virus siber dipanggil ServerProtect untuk pelantar sistem operasi Linux.

Aplikasi terbaru itu memberikan perlindungan virus untuk OS Linux sepenuhnya bagi komputer pelayan fail organisasi berasaskan Linux yang dipasarkan oleh Red Hat (v6.2 atau 7.1).

Dengan keupayaan pengimbasan masa nyata, ServerProtect untuk Linux mampu mengelakkan pelayan fail Linux daripada menjadi tempat simpanan dan pelancaran fail-fail yang dijangkiti virus.

ServerProtect untuk Linux itu mampu mengenyahkan virus dan kod-kod jahat lain pada tahap komputer pelayan, sebelum anasir jahat Web itu tersebarluas keseluruhan rangkaian menerusi dokumen-dokumen dan menjangkiti sekitaran pengkomputeran yang lain.

Malah ia diperkukuhkan dengan ciri pengurusan konsol asas Web, yang memberikan fungsi pengimbasan virus jarak jauh, pembaharuan corak (pattern) virus, laporan peristiwa, dan keupayaan konfigurasi anti virus.

Proliferasi mendadak dan kuasa pemusnah virus-virus dan kod jahat yang lain, yang mampu tersebarluas menerusi dokumen dikongsi menyerlahkan lagi keperluan organisasi melengkapkan diri dengan sistem perlindungan virus asas-pelayan.

Trend Micro merupakan antara yang pertama menangani kemelut itu untuk pelantar sistem terbuka dengan membangunkan aplikasi InterScan VirusWall untuk Linux untuk menyokong Red Hat, SuSE, dan Turbo Linux.

Menurut IDC, Linux kini berada di tempat kedua dalam pasaran pelayan, dengan kira-kira 27 peratus pasaran di belakang Microsoft Windows.

Trend Micro ServerProtect untuk Linux memberikan pengimbasan virus komprehensif bagi pelayan fail menggunakan Red Hat Linux dalam mengesan dan membuang virus-virus yang dikenali atau tidak dengan cepat.

Antara ciri-ciri utama itu ialah:

Pengurusan jauh menerusi Pelayar Web - Aplikasi ini menggunakan konsol asas pelayar Web yang membenarkan pentadbir sistem mengawal aplikasi dari sebarang lokasi menerusi Internet. Konsol itu boleh diakses menggunakan Microsoft Internet Explorer atau Netscape Navigator.

Pengimbasan masa nyata dan berjadual - Selain daripada pengimbasan on-demand, atau Scan Now, ServerProtect juga mampu membersihkan virus-virus secara automatik - tanpa sebarang bantuan pengguna. Pengimbasan masa nyata akan menyemak fail-fail atau virus apabila mereka sedang diakses, seperti ketika fail sedang disalin atau dibuka.

Pembaharuan Komponen Manual atau Automatik - Pentadbir rangkaian boleh melakukan pembaharuan (update) secara manual atau automatik untuk mendapatkan corak virus baru dan fail-fail enjin pengimbas demi mendapatkan perlindungan terkini.

Mungkin ciri paling menarik ialah Pemberitahuan Serangan Virus - Pentadbir juga boleh memilih menerima e-mel atau pemberitahuan Simple Network Management Protocol (SNMP) mengenai peristiwa sistem atau virus yang berlaku pada mesin ServerProtect.

Aplikasi ServerProtect untuk Linux Versi 1.0 kini boleh dipindah terima daripada tapak Web Trend Micro dengan harga RM96 untuk setiap pengguna, dan minimum sepuluh pengguna.