Niipa guna kaedah FBI halang pengganas siber
By Hizral Tazzif Hisham
14th November 2001 (Berita Harian)

AGENDA Perlindungan Prasarana Maklumat Kebangsaan (Niipa) ialah program atau pelan tindakan bagi mengenal pasti dan melindungi prasarana maklumat yang kritikal kepada ekonomi, sosioekonomi dan keselamatan negara daripada serangan pengganas siber.

Niipa amat penting kepada negara kerana ia adalah pelan induk keselamatan yang dapat menguruskan secara berkesan kerjasama antara agensi terbabit untuk merancang, mengurus, melindungi, menyelaras dan melaksanakan pertahanan siber kebangsaan.

Pengarah Pusat Tindakbalas Kecemasan Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser), Mejar Husin Jazri, berkata Niipa adalah langkah proaktif negara bagi menghadapi sebarang kemungkinan dalam era digital, terutamanya musuh yang hendak memusnahkan prasarana maklumat negara.

"Beberapa model sedang dinilai antaranya kaedah yang digunakan Pusat Perlindungan Prasarana Maklumat milik Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) bagi melindungi prasarana maklumat daripada serangan pengganas siber di Amerika," katanya ketika dihubungi ®MDUL¯Berita Komputer ®MDNM¯di Kuala Lumpur, minggu lalu.

Sehubungan itu, Panel Pakar (PoE) dalam bidang keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) diwujudkan bagi memberi input dan cadangan kepada kerajaan ekoran meningkatnya isu keselamatan di seluruh dunia selepas peristiwa serangan Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September lalu.

Panel seramai 28 orang itu adalah pakar tempatan yang ahli dalam bidang masing-masing, terutamanya membabitkan keselamatan ICT.

Mereka terdiri daripada wakil pihak swasta (60 peratus) dan kerajaan (40 peratus) yang membincangkan isu penting untuk mewujudkan Agenda Perlindungan Prasarana Maklumat Kebangsaan (Niipa).

Antara bidang yang dikenal pasti bagi aspek keselamatan ICT adalah telekomunikasi dan sistem rangkaian, keselamatan sistem, kriptografi, pangkalan data, aplikasi, pengurusan, kriteria standard dan penilaian, undang-undang siber, pelan perniagaan berterusan dan operasi.

Beliau berkata, beberapa isu turut dibincangkan dalam mesyuarat PoE baru-baru ini seperti isu penyelarasan tindakan antara agensi kerajaan, meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman rakyat Malaysia serta pembangunan sumber manusia dalam bidang keselamatan ICT.

"Input yang diberikan PoE akan dikemukakan kepada kerajaan untk tindakan seterusnya. Kami juga akan bekerjasama dengan agensi kerajaan dan kementerian ketika merangka plan tindakan berkenaan," katanya.