PoE bincang isu keselamatan ICT negara
By Hizral Tazzif Hisham
12th November 2001 (Berita Harian)

MALAYSIA membentuk panel pakar (PoE) dalam bidang keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi memastikan isu berkaitan dengan ICT di negara ini sentiasa selamat.

Naib Presiden Kanan Mimos Berhad merangkap Pengerusi PoE, Dr Mohamed Awang-Lah, berkata panel itu membabitkan 28 profesional tempatan yang pakar dalam bidang masing-masing, terutamanya membabitkan keselamatan ICT.

Katanya, PoE perlu diwujudkan bagi memberi input dan cadangan kepada kerajaan ekoran meningkatnya isu keselamatan di seluruh dunia selepas peristiwa serangan Pusat Dagangan Dunia di New York pada 11 September lalu.

"Mereka ialah wakil pihak swasta (60 peratus) dan kerajaan (40 peratus) yang dijangka akan membincangkan isu penting untuk mewujudkan Agenda Perlindungan Prasarana Maklumat Kebangsaan (Niipa)," katanya di Serdang, minggu lalu.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas forum perbincangan PoE. Turut hadir ialah Pengarah Pusat Tindakbalas Kecemasan Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser), Mejar Husin Jazri.

PoE akan mengadakan mesyuarat dua bulan sekali bagi mencari pilihan terbaik dalam menangani masalah ICT seperti meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman di kalangan pengurusan tertinggi organisasi mengenai pentingnya melindungi sistem rangkaian komputer daripada diserang.

Niser akan bertindak sebagai sekretariat yang membantu ahli PoE untuk melaskanakan tugas mereka selain membantu menyediakan latar belakang maklumat yang diperlukan PoE ketika merangka Niipa.

Mohamed yang dilantik sebagai pengerusi PoE untuk tempoh dua tahun berkata, perbincangan membabitkan beberapa isu penting dan cuba menangani isu strategik serta berorientasikan teknikal secara mengenal pasti, menganalisis, mentaksir ancaman dan mencadangkan pelan tindakan bagi kebaikan negara.

"PoE menyasarkan untuk mengemukakan cadangan selepas perbincangan komprehensif yang membabitkan isu penting keselamatan ICT kepada kerajaan dalam tempoh suku pertama atau kedua tahun depan," katanya.

Beliau berkata, hasil Kajiselidik Keselamatan ICT Malaysia untuk tahun 2000/2001 yang dibicangkan dalam pertemuan kali ini berupaya membantu anggota panel merumuskan strategi pada peringkat kebangsaan.

"Antaranya tahap kesedaran terhadap keselamatan ICT negara yang masih berada pada tahap rendah dan kurangnya kerjasama pihak swasta melaporkan kejadian pencerobohan sistem rangkaian komputer dalam organisasi mereka," katanya.