Paradigma baru perlu tangani keselamatan siber
8th November 2001

SERANGAN 'pengganas' ke atas Amerika Syarikat pada 11 September lepas membawa pengertian dan dimensi baru dalam bidang keselamatan sama ada keselamatan di dunia nyata atau di alam siber.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKM), Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid berkata, serangan itu membuktikan pengganas tidak memilih agensi kerajaan sahaja dalam tindakan mereka kerana ia termasuk tindakan terhadap perniagaan dan juga orang awam.

Sebelum ini, banyak syarikat yang berpendapat yang sistem mereka kurang terdedah kepada serangan penceroboh atau pengganas dalam dunia siber berbanding sistem kerajaan.

Beliau berkata, syarikat dan organisasi kini perlu bekerjasama dengan berkongsi maklumat dengan pihak berkuasa bagi membolehkan tindakan terbaik diambil dalam menangani masalah keselamatan.

"Dunia kini perlu bersatu sama ada di peringkat negara, rantau atau global dalam menangani masalah keselamatan,'' katanya dalam seminar e-keselamatan di MINES, Seri Kembangan, baru-baru ini.

"Pencerobohan komputer, penyebaran virus, penipuan dan pelbagai terhadap komunikasi rangkaian adalah suatu yang harus dihadapi oleh semua pengguna,'' katanya.

Beliau berkata, bagi membolehkan semua pihak bekerjasama dalam menangani masalah keselamatan rangkaian, Perdana Menteri Datuk Seri Dr. Mahathir Mohamad dalam Mesyuarat Menteri-menteri Telekomunikasi ASEAN baru-baru ini telah mencadangkan penubuhan Pusat Penyelarasan Keselamatan Rangkaian ASEAN.

Pusat itu perlu menjadi pangkalan data untuk perkongsian maklumat antara negara-negara ASEAN dan pendekatan yang sama boleh dilaksanakan di peringkat negara yang mana semua pihak berkaitan bekerjasama dalam menangani masalah keselamatan itu. Nuraizah juga berkata, Malaysia juga mencadangkan penerimaan standard ISO Malaysian Standard (MS) dalam keselamatan maklumat dan syarikat boleh melaksanakan standard itu iaitu ISO 17799 dan ISO 13355.