Serangan Internet meningkat dua kali ganda
26th October 2001 (Berita Harian)

JUMLAH serangan Internet dijangka meningkat kepada 46,000 kejadian sehingga akhir tahun ini, bertambah hampir dua kali ganda iaitu kira-kira 22,000 kejadian berbanding tahun lalu.

Kejadian serangan yang dilaporkan kebanyakanya membabitkan aktiviti pencerobohan, cecacing, virus dan serangan Internet lain.

Serangan memberi kesan terhadap sebarang sistem sama ada membabitkan sebuah komputer kepada beberapa ratus ribu hos lokasi komputer.

Juruteknik Kanan Pusat Koordinasi Kumpulan Tindakbalas Kecemasan Komputer (CERTCC), Amerika Syarikat, Larry Rogers berkata, sepanjang sembilan bulan pertama tahun ini saja, kira-kira 35,000 serangan dicatat.

Katanya, perkembangan pesat terhadap penggunaan Internet dikatakan menjadi punca meningkatnya serangan itu.

"Melalui Internet, ia membolehkan penyerang mempunyai banyak sasaran dan maklumat untuk diserang," katanya.

CERTCC mula mencatat kejadian serangan Internet pada 1988, iaitu tahun Robert T Morris melepaskan cecacing Internetnya.

Pada 1989, CERTCC mencatat 132 serangan dan meningkat dua kali ganda lima tahun kemudian. Antara 1994 dan 1998, ia mencatat sekitar 2,500 kejadian.

Menjelang 1999, jumlah serangan mencecah hampir 10,000 dan lebih dua kali ganda tahun berikutnya.

Roger berkata, kejadian serangan awal dulu agak mendatar disebabkan Internet masih belum digunakan begitu meluas seperti sekarang.

"Ketika itu, Internet masih pada peringkat permulaan penggunaannya dengan membabitkan pihak tertentu," katanya.

Kini katanya, penyerang Internet berleluasa disebabkan perkembangan penggunaan web di samping terdapat komputer yang kurang sistem kekebalan keselamatannya.

"Apa yang pasti, web kini menjadi penggunaan harian dan itu sudah menjadi penyebab kepada peningkatan jumlah serangan," jelasnya.