Virus 'Nimda' serang komputer seluruh dunia
19th September 2001 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Satu lagi virus jenis cecacing dikenali sebagai `Nimda' yang lebih berbahaya dari Code Red dan Sircam kini sedang menyerang komputer-komputer di seluruh dunia melalui pelbagai kaedah dengan pantas.

Virus yang diletakkan sebagai kategori `risiko tinggi' oleh kebanyakan syarikat keselamatan rangkaian itu melakukan serangan melalui tiga cara terhadap komputer peribadi (PC) dan juga komputer pelayan.

Virus itu dijangka mampu melemahkan sistem rangkaian komputer dan trafik Internet dihantar melalui e-mel pengguna yang dijangkitinya, melalui komputer rangkaian yang dikongsi dan juga terhadap komputer pelayan web.

Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), Mejar Husin Jazri berkata, Niser dan agensi pemantauan MyCert dimaklum mengenai serangan virus itu dan kini sedang membuat pemantauan akan kesannya di negara ini.

``Setakat pukul 5 petang ini, kurang daripada lima laporan yang diterima mengenai serangan virus Nimda di negara ini,'' katanya kepada Utusan hari ini.

Katanya, memandangkan serangan virus itu yang baru saja berlaku iaitu kurang dari 24 jam, berkemungkinan status serangan di negara ini boleh diketahui esok.

Katanya, serangan virus ini dijangka memberi kesan yang besar kerana ia turut menjangkiti PC dan bukan hanya komputer pelayan Internet seperti Code Red.

Dari segi corak serangannya, Nimda yang jika dibaca terbalik berbunyi `admin' boleh dikatakan gabungan virus Code Red dan Sircam kerana ia menggunakan kaedah-kaedah yang terdapat dalam serangan kedua virus itu.

Husin berkata, Niser telah meletakkan amaran pada laman webnya, www.niser.org.my dan akan memantau perkembangan seterusnya sebelum mengambil tindakan seperti ketika menghadapi serangan virus Code Red sebelum ini.

Menurut syarikat anti-virus, Trend Micro Inc, virus itu dikenali juga sebagai PE-NIMDA.A (atau Nimda.A,W32/Nimda.A@mm) akan menghantar e-mel secara automatik dengan menyertakan fail lampiran ``readme.exe.''.

Menurut Persatuan Kerjasama Pusat Analisis Data di San Diego, kira-kira 130,000 komputer peribadi dan komputer pelayan telah dijangkiti virus tersebut dalam masa tidak sampai 10 jam serangannya.