Kenali cecacing Code Red II
9th August 2001 (Utusan Malaysia)

CECACING Code Red II yang menggunakan nama Codered.C merupakan versi terbaru cecacing Internet daripada cecacing jenis Red Worm yang sebelum ini telah menyerang komputer di seluruh dunia pada 19 Julai dan mulai 1 Ogos lepas.

Berbanding tindakan Code Red Worm asal yang dikenali sebagai Codered.A dan Codered.B, versi terbaru cecacing ini mempunyai tiga perbezaan utama iaitu:

1 - Serangan cecacing kepada komputer pelayan Internet ini tidak akan melakukan perubahan kepada muka hadapan laman web yang dijangkiti.

2 - Cecacing ini akan menjalankan aktiviti pengimbasan dan jangkitan kepada sistem dalaman rangkaian syarikat terlebih dahulu sebelum ia keluar ke Internet.

3 - Codered.C ini juga membawa satu trojan bersamanya yang akan dipasang kepada sistem komputer pelayan yang akan mendedahkan komputer itu kepada Internet.

Keadaan ini membolehkan pihak-pihak tidak berkenaan mengakses komputer syarikat secara haram dari luar dan sekali gus berupaya mendapatkan atau merosakkan fail-fail yang tersimpan di dalam pelayan.

Menurut syarikat perisian keselamatan Trend Micro Inc., komputer pelayan Windows NT tersebut tidak akan mampu menghilangkan cecacing dengan hanya 'reboot' komputer seperti yang boleh dilakukan dalam jangkitan Codered.A dan Codered.B).