Malaysia mahu tambah pakar keselamatan ICT
14th Julai 2001 (Berita Harian)

MALAYSIA akan terus merangka program melatih lebih ramai tenaga pakar tempatan dalam bidang keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk menghalang berlakunya pencerobohan dan penyalahgunaan sistem rangkaian komputer.

Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), Mejar Husin Jazri, berkata Malaysia perlu menyediakan sumber tenaga yang cukup bagi menangani cabaran era siber terutama kesan peningkatan kadar pencerobohan sistem rangkaian.

"Oleh kerana kita bergantung kepada teknologi untuk memudahkan tugas kritikal, kita mesti meningkatkan tahap keselamatan sebagai keperluan pertama membina unsur kepercayaan dan keyakinan terhadap ICT.

"Sehubungan itu, pengamal ICT perlu sentiasa dilatih agar mereka dapat menjalankan tugas berat itu dengan berkesan," katanya kepada Komputer di Kuala Lumpur, kelmarin.

Beliau ditemui pada sidang akhbar sempena Persidangan Niser/Sans Asia Pasifik 2001 yang berlangsung dari 10 hingga hari ini.

Husin berkata, persidangan itu adalah persidangan latihan keselamatan ICT yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa dan pertama seumpamanya diadakan di Asia Tenggara.

Persidangan itu anjuran Niser dan Institut Pentadbir Sistem dan Keselamatan Rangkaian (Sans).

Seramai 120 peserta menghadiri persidangan berkenaan yang membincangkan pelbagai aspek terkini dalam bidang keselamatan sistem rangkaian komputer.

Peserta yang menghadiri kursus itu akan dianugerahkan sijil kehadiran sebelum menduduki ujian anjuran Pusat Analisis Insiden Global (Giac) dan jika mereka lulus akan dianugerahkan sijil Giac.

Beliau berkata, persidangan itu dapat membantu pengamal ICT menguasai kemahiran penting diperlukan untuk menjaga keselamatan landskap maklumat dan menjadikan sistem rangkaian komputer lebih selamat.

Katanya, 90 peratus peserta persidangan itu adalah dari Malaysia manakala bakinya dari Singapura, Jepun, Australia, India, Hong Kong dan Tanzania.

Beliau berkata, hasil penyelidikan Niser mengenai isu keselamatan ICT mendapati amat sedikit pelaburan dibuat bagi membangunkan kemahiran dan pengetahuan berbanding pelaburan bagi perkakasan.