Jenayah siber semakin serius
By LOKMAN ISMAIL and ISMAIL DAUD
Utusan Malaysia (7th June 2001)

KUALA LUMPUR 6 Jun - Jenayah siber yang kini semakin membimbangkan perlu diberi perhatian serius kerana ia boleh menjejaskan hubungan politik, ekonomi dan sosial di rantau ini, kata Profesor Paul Evans.

Evans dari University British Columbia Kanada berkata, penyebaran maklumat yang tidak tepat dan mengelirukan melalui Internet itu boleh memberi kesan negatif kepada kestabilan serantau dan global.

Dengan mengambil contoh ketegangan kaum etnik Cina dan tempatan di Indonesia, beliau berkata, rakyat di negeri China telah menerima banyak sumber maklumat dari luar berhubung kejadian tersebut.

"Malahan maklumat yang dikirimkan oleh orang Cina di luar China tentang kejadian ini lebih banyak daripada yang diterima secara rasmi oleh kerajaan China.

"Bayangkan jika maklumat yang diberikan itu tidak tepat dan mengelirukan, ia boleh menjejaskan hubungan politik kedua-dua negara,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ifJurang Digital dan Sosial: Merapatkan Jarak di Kalangan Bangsanf pada persidangan Meja Bulat Asia Pasifik ke-15 di sini hari ini.

Evans berkata, jenayah siber yang turut meliputi penyebaran virus, penggodaman komputer dan rangkaian juga boleh memberi kesan sampingan kepada pertahanan dan ekonomi sesebuah negara.

Kata beliau, masalah keselamatan teknologi maklumat (IT) di rantau Asia Pasifik sudah menjadi agenda agensi kerajaan sejak dua dekad lalu tetapi ia baru dikaji kalangan akademik dan pertubuhan bukan kerajaan.

Antara isu yang diberi penekanan di bawah keselamatan negara termasuk peperangan siber, epidemiologi siber seperti penyebaran virus, penggodaman dan pencerobohan serta pengganas.

Di bawah perspektif isu keselamatan manusia, `privacy' dan capaian, hal-hal seperti teknik komunikasi, pemantauan dan kesan dari ekonomi berasaskan pengetahuan perlu diberi perhatian.

Sementara itu Profesor Amando Mendoza Jr. dari Jabatan Sains Politik, Universiti Filipina pula berkata, Malaysia dan Singapura adalah negara-negara yang paling ke depan dalam memajukan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di rantau ASEAN.

"Malaysia dan Singapura diakui mendahului lain negara di rantau ASEAN dalam pembangunan ICT.

"Ia diikuti oleh Thailand manakala Indonesia, Filipina dan lain-lain negara masih ketinggalan,'' katanya pada sesi soal-jawab selepas persidangan tersebut.

Selain memajukan ICT dengan agresif, Malaysia juga, kata beliau, merupakan negara yang mendahului lain-lain negara dalam menyediakan undang-undang siber untuk menghadapi jenayah siber.

Langkah yang diambil oleh Malaysia itu, menurut beliau, sangat tepat memandangkan dengan adanya undang-undang seperti ini ia akan mengurangkan masalah jenayah siber.