Hacker, Cracker keliru pengguna komputer Berita Harian (7th June 2001)
SALAH faham mengenai istilah penceroboh komputer (hacker) yang berleluasa ketika ini perlu diperbetulkan kerana banyak mendatangkan kekeliruan kepada pengguna komputer. Ini kerana hacker adalah individu yang mempunyai minat mendalam bekerja dengan sistem komputer. Mereka beretika - tidak merosakkan sistem atau data dan menulis program perisian yang aktif dan kreatif. Sebaliknya, lawan hacker adalah cracker yang tidak mempunyai etika kerja yang baik. Mereka menceroboh ke dalam sistem komputer dan merosakkan sistem yang ada dengan tujuan utama membuat keuntungan. Cracker tidak menulis program untuk membangunkan perisian tetapi menggunakan perisian yang dibangunkan orang lain untuk tujuan kemusnahan. Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), Mejar Husin Jazri, berkata ada salah faham mengenai hacker kerana maksud sebenar hacker adalah individu yang menggunakan kepakaran dan kemahiran yang dimiliki untuk menulis program komputer atau membetulkan kesilapan. "Apa yang tertera menerusi media dan difahami masyarakat ketika ini ialah hacker menggambarkan individu yang berniat jahat dengan menceroboh sistem komputer atau melepaskan virus sedangkan mengikut istilah sebenar individu berkenaan adalah cracker," katanya kepada Komputer di Kuala Lumpur, minggu lalu. Beliau berkata, tidak dinafikan ini ada aliran menunjukkan hacker bercirikan cracker dan turut membuat kemusnahan kepada sistem komputer serta tidak beretika. "Hacker itu dikenali sebagai black hat hackers ,manakala yang masih mengekalkan etika dan melaksanakan kerja produktif serta membawa kebaikan adalah white hat hackers," katanya. Beliau berkata, kebanyakan sistem yang merosakkan sistem komputer (cracker) dapat menembusi sistem keselamatan yang ada disebabkan beberapa faktor seperti pengurusan dan pentadbiran sistem yang agak lemah dan kurang kesedaran mengenai kepentingan mengawasi sistem itu. "Selain itu, ada perisian percuma dan program yang disediakan dalam Internet untuk memudahkan cracker menceroboh sistem di samping meningkatkan status antara cracker jika dapat menceroboh Pentagon atau Cia," katanya. |