Kod kandungan Internet atasi penyelewengan
Utusan Malaysia (7th June 2001)

DALAM usaha untuk mengatasi penyalahgunaan Internet, kerajaan tidak lama lagi mungkin mengadakan kod kandungan supaya laman Web dipertanggungjawabkan terhadap apa yang mereka keluarkan.

Bagaimanapun, Setiausaha Parlimen Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Chia Kwang Chye memberi jaminan kerajaan tidak akan menapis kandungan Internet, sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 3 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Kita tidak akan mengubah atau mewujudkan undang-undang baru, tetapi kita mengkaji kod kandungan yang akan diperkenalkan tidak lama lagi,'' katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kenyataan Chia itu bersesuaian dengan ketika permintaan oleh pelbagai pihak, beberapa permintaan untuk meluaskan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan supaya turut meliputi bahan dalam laman Web.

Memandangkan tiada dasar berkaitan ruang siber, pihak tertentu telah mengambil kesempatan melalui Internet untuk menyemai perasaan benci antara pelbagai kaum di Malaysia.

Chia berkata terdapat kemungkinan untuk meluaskan bidang kuasa Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk meliputi berita secara yang disiarkan dalam talian, bagaimanapun kerajaan dalam proses mengkaji undang-undang siber yang sedia ada di negara ini.

Beliau berkata kajian itu perlu bagi membanteras penyalahgunaan Internet oleh pengguna yang tidak bertanggungjawab, kerana terdapat kebimbangan bahawa Internet digunakan untuk menyebarkan pembohongan, berita tidak benar, urus niaga haram dan bahan-bahan lucah.

Chia berkata Forum Kandungan, yang diwujudkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia juga dipertanggungjawabkan bagi merumuskan kod tersebut yang akan meliputi maklumat dalam Internet.

Kod itu antara lain akan mengandungi, garis panduan umum yang mana mereka yang berkaitan perlu mengambil kira sensitiviti budaya dan agama masyarakat di negara ini.

Kandungannya mestilah sesuai dengan nilai dan moral di negara ini, kata Chia.

"Apabila kod itu siap, pembekal perkhidmatan itu perlu memohon lesen pendaftaran daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan mereka perlu membayar harga lesen RM2,500 semasa pendaftaran,'' katanya.

Beliau berkata langkah untuk memperkenalkan kod itu juga berdasarkan kebimbangan terhadap keselamatan negara berkaitan penyalahgunaan Internet.

Beliau berkata kod itu tidak meliputi maklumat yang dimasukkan ke dalam komputer pelayan dari luar negara.

"Malaysia cuba mendapatkan sokongan supaya undang-undang antarabangsa meliputi penyalahgunaan Internet, dan kami dalam proses mendapatkan kerjasama daripada negara-negara lain,'' katanya.

Chia berkata Australia dan Britain telah melaksanakan kod yang serupa bagi mengatasi penyalahgunaan Internet. Australia telah meminda Akta Perkhidmatan Penyiaran (Perkhidmatan Online) pada tahun 1999, manakala Britain pula menggubal peraturan Investigatory Powers Act untuk tujuan yang sama.

Chia berkata cadangan kod kandungan Malaysia yang akan dilaksanakan mungkin mirip yang diperkenal di Singapura.

Singapura telah memperkenalkan kod kandungan bagi membanteras penyalahgunaan Internet dengan meminda Akta Pihak Berkuasa Penyiaran Singapura pada tahun 1996 yang memerlukan pembekal perkhidmatan Internet dan pembekal kandungan dilesenkan di bawah Lembaga Penyiaran Singapura (SBA).