Pakar sistem keselamatan komputer masih kurang
Berita Harian (28th Mei 2001)

PASARAN pengurusan sistem keselamatan komputer yang merangkumi perkhidmatan untuk firewall, sistem rangkaian sulit maya (VPNs), pengesanan gangguan dan pengimbasan virus kini menjadi semakin panas.

Yankee Group, syarikat perunding teknologi menjangkakan jumlah perbelanjaan oleh semua sektor perniagaan bagi mengurus sistem komputer meningkat daripada RM532 juta tahun lalu ke RM6.46 bilion menjelang 2005.

Pengarahnya (Sektor Keselamatan), Matthew Kovar berkata, ciri utama yang menjadi pemacu pertumbuhan itu disebabkan kekurangan pakar dalam bidang itu.

Katanya, kebanyakan pengurus teknologi maklumat (IT) hanya mempunyai pengetahuan umum terhadap isu keselamatan sistem komputer selain tidak mempunyai kepakaran tertentu bagi melaksanakan strategi keselamatan sistem di organisasinya.

"Boleh dikatakan kebanyakan pengurus IT sibuk dengan tugas lain sehingga gagal mengetahui kedudukan terkini mengenai ancaman virus.

"Pada suatu ketika, syarikat mengandaikan keselamatan sistem komputer boleh dilakukan hanya dengan menyediakan firewall, katanya.

Katanya, anggapan ini boleh dikatakan betul tetapi ia untuk langkah permulaan dan harus disusuli dengan sistem lebih kukuh bagi melindungi ancaman daripada dalaman atau luaran.

"Syarikat besar selalunya mempunyai tahap keselamatan tinggi sehingga sanggup mengambil pihak ketiga bagi mengurus sistem keselamatan komputer mereka," katanya.

Kavor berkata, banyak syarikat mula memanfaatkan sumber luar bagi memenuhi keperluan keselamatan sistem yang menjadi aliran baru yang selama ini agak keberatan membenarkan pihak luar melihat ciri keselamatan dalaman mereka.

"Syarikat dinasihatkan mengambil pendekatan terbaik untuk sistem keselamatan mereka dengan menggunakan keseluruhan sistem bukan mengambil sebahagian daripadanya.

"Firewall mungkin mampu menghalang serangan luar tetapi sistem pengesanan gangguan juga penting bagi memenuhi keseluruhan ancaman sama ada dalaman atau luaran," katanya.