Teknologi cip, biometriks KPPK tingkatkan keselamatan
Megabait (14th Mei 2001)

TEKNOLOGI cip dan biometriks yang digunakan pada Kad Pintar Pelbagai Guna Kerajaan (KPPK) mampu meningkatkan keyakinan yang tinggi di kalangan pengguna khususnya dari aspek keselamatan.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Azizan Ayob berkata, ciri-ciri keselamatan tersebut melindungi pemegangnya dari sebarang pemalsuan dan salah guna kad.

"Ia juga memastikan data yang disimpan di dalam kad tersebut adalah tepat dan selamat,'' katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di Petaling Jaya, baru-baru ini.

Menurut Azizan, berdasarkan kepada ciri-ciri keselamatan yang tinggi itu, pihaknya juga bercadang untuk memperluaskan kegunaan kad tersebut kepada sektor pengangkutan dan perbankan tidak lama lagi.

Katanya, langkah itu adalah wajar memandangkan fungsi kedua-dua sektor terbabit semakin penting kepada rakyat Malaysia kebelakangan ini.

"Dengan pertambahan bilangan tol dan pengangkutan awam di negara ini, kami harap dapat membina sistem yang membolehkan kita membayar tol, tambang keretapi, LRT dan bas menggunakan KPPK tidak lama lagi,'' ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang berusaha keras membangunkan infrastruktur yang serupa seperti mesin teler automatik (ATM) supaya pengguna dapat mengeluarkan duit menggunakan KPPK.

"Bagi sektor perbankan, kami bercadang mewujudkan suatu sistem yang boleh akses kepada akaun bank pengguna untuk keluarkan duit menggunakan KPPK,'' jelasnya.

Beliau menjelaskan, bagi mengelakkan pengklonan dan penggodaman, pihaknya akan menambah beberapa ciri keselamatan lain seperti menggunakan nombor pin dan cap jari.

Beliau menambah, langkah tersebut juga membuktikan kerajaan memandang serius ke arah mencapai visi pengurusan tanpa kertas di negara ini.

Kerajaan Malaysia membelanjakan sebanyak RM270 juta bagi membangunkan KPPK yang mula diperkenalkan kepada orang ramai bulan lalu.

Jumlah itu membabitkan pelaburan fasa pertama projek perintis KPPK iaitu untuk kawasan Lembah Klang yang bermula sejak tahun 1997.

Ini termasuk kos membangunkan aplikasi dan perisian, pusat pengeluaran kad, pangkalan data, peranti bagi pembaca kad, infrastruktur dan rangkaian serta latihan dan perkhidmatan lain.

Menurut Azizan, sehingga kini sebanyak 90 ribu KPPK telah dikeluarkan dan dijangka akan meningkat sehingga 600 ribu lagi menjelang penghujung tahun ini.

KPPK yang berfungsi sebagai kad pengenalan, lesen memandu, pasport, kad kesihatan, kad bayaran tunai elektronik dan lain-lain itu adalah kad pintar pelbagai guna pertama di dunia.

Kad pintar tersebut menggunakan teknologi terkini seperti mikrocip dan enkripsi keselamatan termasuk cap jari serta imej maya (ghost image).

"Kami mensasar KPPK akan digunakan secara meluas dan jayanya di seluruh negara pada tahun 2007 nanti,'' tambahnya.