AS belajar daripada Asia perangi jenayah siber
4th Mei 2001 (Berita Harian)

KERAJAAN Amerika Syarikat (AS) perlu banyak belajar daripada rantau Asia mengenai jenayah dunia Internet tanpa wayar khususnya cara kewujudannya dan kaedah mengatasinya.

Ketua Jenayah Komputer, Jabatan Keadilan AS, Paul Luehr berkata, Washington perlu belajar daripada Asia cara berdepan dengan penipuan Internet khususnya dalam segmen telefon bimbit.

Ini kerana banyak kawasan rantau ini yang mempunyai peratusan tinggi penggunaan telefon bimbit berbanding AS selain menggunakan telefon dan alat tanpa wayar lain untuk e-dagang, katanya.

Luehr yang tugasnya membabitkan perundangan jenayah utama termasuk penipuan Internet dan pencerobohan sistem komputer berkata, dia berminat mengenal pasti bagaimana Asia mengetatkan undang-undang terhadap jenayah.

Pada masa yang sama katanya, beliau juga mahu berusaha untuk memastikan AS mendapat maklumat bagaimana dalam keadaan undang-undang ketat di Asia, masih ada pengguna telefon bimbit berjaya melakukan penipuan melalui Internet.

"Penyiasatan berkaitan dengan jenayah siber tanpa wayar harus berdepan penjenayah yang boleh berada di mana saja dan pada bila-bila masa," katanya yang dalam rangka lawatan ke negara Asia Tenggara, baru-baru ini.

Luehr, dikatakan antara polis siber utama dunia kerana aktif memerangi jenayah itu berkata, pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan pakar daripada negara Asia Tenggara untuk membincangkan usaha mengatasinya.

"Dalam keadaan penjenayah memanfaatkan sepenuhnya teknologi masa kini, pihak penguatkuasa undang-undang juga harus dilengkapi dengan teknologi itu untuk kebaikan di masa depan," katanya.

Berdasarkan jenayah siber semakin meningkat, beliau menyarankan kerajaan negara Asia meningkatkan usaha memerangi jenayah siber khususnya berkaitan dengan teknologi itu.

"Jenayah itu kini dikatakan menjadi masalah utama dalam era teknologi tinggi yang terpaksa dihadapi oleh rantau ini," katanya