Kementerian Pertahanan tubuh cawangan perangi siber 2nd May 2001 (Berita Harian) DEWAN Rakyat semalam diberitahu Kementerian Pertahanan akan menubuhkan satu Cawangan Peperangan Siber bagi menangani ancaman peperangan siber di negara ini. Timbalan Menterinya, Datuk Shafie Apdal, berkata permohonan penubuhan cawangan di Markas Angkatan Tentera itu sudah dibuat kepada agensi pusat, baru-baru ini. "Cawangan ini akan bertanggungjawab dalam pembangunan, pengawasan dan penggunaan maklumat untuk menghadapi ancaman peperangan siber dalam aspek pertahanan negara," katanya menjawab soalan Datuk Dr Jamaluddin Mohd Jarjis (BN-Rompin). Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai langkah kementerian untuk mempertingkatkan mutu perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sejajar perkembangan dunia serta penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) di dalam peperangan. Selain itu, Shafie berkata ATM sedang merancang menubuhkan Pusat Latihan Peperangan Elektronik bagi menyediakan satu tempat latihan yang canggih kepada warga ATM yang akan menghasilkan pakar peperangan elektronik berkemahiran tinggi. Katanya, kementeriannya juga menyusun program latihan dan latihan semula yang berterusan untuk menjamin tenaga kerja yang celik dalam penggunaan ICT dan memastikan pusat latihan ketenteraan ATM akan dilengkapi peralatan kemudahan ICT bagi meningkatkan taraf pembelajaran warga tentera. "Untuk jangka panjang, kementerian sedang menyediakan pelan induk ICT bagi ATM. Pelan ini akan menentukan arah tuju pembangunan dan penggunaan ICT bagi kementerian dan ATM. "Usaha ini adalah untuk memodenkan angkatan tentera serta meningkatkan kesiapsiagaan ATM kepada tahap tertinggi bagi menghadapi sebarang ancaman dan cabaran yang mendatang," katanya. Sementara itu, Shafie berkata masalah anggota tentera yang mempunyai kemahiran dalam ICT atau berupaya mengendalikan sistem berteknologi tinggi berhenti atau direbut oleh sektor swasta memang berlaku dalam semua cawangan perkhidmatan dalam ATM. Bagaimanapun, katanya, masalah itu dapat diatasi dengan melatih ramai angkatan tentera serta mengikat mereka dengan perjanjian sebelum mengikuti sesuatu kursus di luar negara. "Kementerian menggunakan pendekatan dengan menyediakan elaun dan meningkatkan keselesaan untuk memastikan mereka kekal dalam perkhidmatan tentera. Kita akan pastikan perkhidmatan pertahanan ini memberikan kehidupan selesa kepada anggotanya," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Zulhasnan Rafique (BN-Wangsa Maju). |