NISER ditubuh tangani isu keselamatan ICT
By Lukman Ismail
16th April 2001 (Utusan Malaysia - Megabait)

MALAYSIA telah membentuk satu agensi pemantauan keselamatan berkaitan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi menangani masalah insiden-insiden keselamatan ICT di negara ini.

Penubuhan Pusat Respons Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (NISER) itu telah dipersetujui oleh Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) sejak Januari 1998 tetapi dilancarkan Selasa lepas.

Setiausaha NITC, Tengku Datuk Dr. Azzman Shariffadeen berkata, penubuhan NISER itu bertujuan menangani isu-isu keselamatan ICT di bawah agenda perlindungan E-Kedaulatan seperti yang termaktub di bawah E-Dunia Agenda Teknologi Maklumat Negara (NITA).

"Penyediaan perkhidmatan keselamatan ICT oleh NISER ini akan dijalankan dengan usaha sama lain-lain agensi kerajaan, sektor swasta, masyarakat dan orang perseorangan,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran NISER oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Bernard Dompok yang mewakili Timbalan Perdana Menteri, di Kuala Lumpur.

Tengku Azzman yang juga Presiden MIMOS Berhad berkata, pada dasarnya NISER akan memainkan peranan dan bertanggungjawab dalam lima bidang kerja utama.

Lima bidang kerja itu ialah mengekalkan kemahiran teknikal dalam bidang keselamatan, bergerak dan bertindak secara proaktif, menjalinkan usaha-usaha usaha sama, menjadi badan yang bebas dan berkecuali serta tidak mengambil kira keuntungan.

Kata beliau, NISER akan menyokong tujuh fungsi iaitu reaksi insiden, penilaian teknologi dan penyelidikan, akulturasi, insurans keselamatan, pembangunan polisi keselamatan dan sekretariat serta perkhidmatan pakar.

"NISER pada masa kini bekerjasama dengan Systems Administration and Network Security (SANS), iaitu institusi keselamatan ICT Amerika Syarikat.

"Institusi ini menyediakan latihan teknikal dan persijilan keselamatan bagi meningkatkan keupayaan dalam keselamatan ICT tempatan pada masa depan,'' kata beliau.

Dalam sidang akhbar kemudiannya, Tengku Azzman berkata, pada masa sekarang masalah insiden berkaitan keselamatan ICT khususnya Internet sangat membimbangkan.

Berdasarkan kajian Pasukan Reaksi Kecemasan Komputer Malaysia (MyCERT) di bawah MIMOS, didapati jumlah insiden keselamatan ICT mencapai 1,713 kes sejak 1997 hingga 200.

Manakala dalam bulan Mac tahun ini sahaja pihak MyCERT telah mengesan berlakunya peningkatan sehingga 300 peratus dalam masalah berkaitan keselamatan berkenaan.

Mengenai kedudukan MyCERT yang selama ini menjalankan sebahagian kerja-kerja NISER, beliau berkata, MyCERT serta kakitangannya akan diserapkan di bawah NISER manakala NISER sendiri untuk masa kini ditempatkan di MIMOS.

"NISER akan dipindahkan ke tempat lain pada masa akan datang tetapi kami masih belum dapat memutuskannya,'' kata beliau.