Rakyat perlu bersedia hadapi serangan siber
10th April 2001 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR, Selasa - Rakyat serta organisasi tempatan perlu mempersiapkan diri bagi menghadapi ancaman serangan siber terhadap kedaulatan dan kepentingan negara, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Timbalan Perdana Menteri berkata, ancaman serangan siber terhadap sistem maklumat adalah nyata dan semakin bertambah sekali gus negara kini terdedah kepada peperangan maklumat, pengintipan, sabotaj dan pencerobohan.

"Ancaman terhadap teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dialami banyak negara, termasuk negara yang paling kaya dan maju.

"Kita tidak boleh menolak teknologi maklumat, komunikasi dan multimedia moden sebagai tindak balas terhadap ancaman itu kerana ia hanya akan melucutkan kuasa serta melemahkan negara kita," katanya melancarkan Pusat Keselamatan ICT dan Tindakbalas Kecemasan Kebangsaan (Niser) di sini, hari ini.

Ucapan beliau dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Benard Dompok.

Niser yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan adalah badan khas bagi menangani semua isu keselamatan sistem komputer di negara ini serta membantu kerajaan menggubal dasar keselamatan ICT.

Ia menyediakan kepakaran dalam pelbagai bidang keselamatan sistem rangkaian komputer seperti pembangunan dasar keselamatan, perkhidmatan forensik komputer dan jaminan keselamatan sistem rangkaian.

Abdullah berkata, sejak pertumbuhan pesat Internet, organisasi, kerajaan dan sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), masyarakat dan individu mengalami beberapa bentuk pencerobohan setiap hari.

Katanya, menurut perangkaan Niser, Malaysia mengalami 1,713 kes keselamatan ICT atau purata 400 kes setahun sejak Ogos 1997 hingga Mac 2001.

Beliau berkata, bagi setiap kes yang dikesan berlaku ada 50 kes lagi yang tidak dilaporkan dan 50 lagi tidak dikesan.

"Perangkaan ini menunjukkan kes keselamatan ICT akan terus berlaku dan dijangka akan bertambah lagi apabila kadar celik komputer meningkat. Keadaan ini tentunya memerlukan perhatian semua pihak," katanya.

Abdullah berkata, serangan siber terhadap sistem kewangan seperti sistem perbankan dan pembayaran elektronik akan memberi kesan buruk terhadap ekonomi negara.

Katanya, begitu juga dengan serangan siber terhadap sistem maklumat dan komunikasi yang boleh melumpuhkan sistem pertahanan serta sektor penting negara.

"Internet membolehkan serangan siber dilakukan dengan mudah oleh negara musuh atau kumpulan tertentu dan malah oleh individu menerusi komputer di rumah. Ini menjadikan Malaysia lebih terdedah kepada ancaman itu," katanya.

Justeru, Abdullah berkata, perlindungan terhadap prasarana maklumat dan komunikasi amat diperlukan dan berharap Niser akan memainkan peranan penting dengan mencadangkan beberapa langkah untuk dipertimbangkan kerajaan.

Katanya, organisasi di negara ini juga perlu merumuskan dasar keselamatan yang baik untuk melindungi sistem maklumat mereka daripada dicerobohi dan dipergunakan pihak yang tidak bertanggungjawab.

Malah, katanya, mangsa serangan siber juga harus melaporkan sebarang bentuk pencerobohan terhadap sistem maklumat mereka.

"Rakyat Malaysia perlu memberi kerjasama kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk melaksanakan tugas mereka. Pencegahan menerusi pembentukan undang-undang saja tidak memadai," katanya.

Kerajaan, kata Abdullah, bukan saja komited untuk membangunkan ICT tetapi pada masa sama memastikan ia memberi manfaat serta meminimumkan kesan buruk terhadap kedaulatan serta kepentingan negara.

Justeru, pendekatan tradisional mempertahankan kedaulatan negara berdasarkan sempadan geografi tidak lagi cukup untuk melindungi kedaulatan serta kepentingan negara dalam alam siber, katanya.

"Pemahaman mengenai sifat alam siber amat diperlukan," katanya.

Abdullah juga berkata, kerajaan sedang menggubal Akta Perlindungan Data Peribadi bagi menyelia pengumpulan, penyimpanan dan pemprosesan data seseorang individu menerusi Internet untuk melindungi maklumat serta rahsia mereka.

Pada sidang akhbar kemudian, Dompok berkata, Akta Perlindungan Data Peribadi itu masih dalam proses penggubalan oleh Pejabat Peguam Negara.

Sementara itu, Mohd Azzman berkata, undang-undang itu perlu bagi melindungi penyebaran maklumat peribadi seseorang di Internet oleh pihak tertentu.