Sijil data diguna kawal pencerobohan Internet
5 April 2001 (Utusan Malaysia)

SEMUA organisasi kerajaan dan swasta perlu meningkatkan lagi sistem keselamatan data untuk menangkis ancaman penceroboh Internet, kata Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia Datuk Halim Shafie.

Beliau berkata kesedaran mengenai keselamatan data dalam organisasi sudah sedia ada tetapi perkembangan era pengkomputeran di negara ini memerlukan setiap jabatan dan organisasi memantapkan sistem kawalan keselamatan data mereka untuk mengelak daripada dicerobohi.

"Kementerian kini bekerjasama dengan Sirim Berhad untuk mengadakan pensijilan bagi keselamatan data dan maklumat seperti sijil kualiti ISO. Pelaksanaan itu turut melibatkan agensi lain di bawah kementerian,'' katanya.

Menurutnya pensijilan terhadap keselamatan data dan maklumat itu akan dapat membuktikan bahawa organisasi dan jabatan bersedia dengan kawalan keselamatan data yang kukuh.

"Setakat ini, beberapa laman Web jabatan kerajaan telah dicerobohi seperti yang dilaporkan oleh media. Saya rasa usaha untuk melindungi laman Web mereka semakin meningkat,'' katanya kepada Bernama selepas sidang media mengenai persidangan keselamatan maklumat dan rangkaian, InfoSecurity 2001, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Persidangan tiga hari mulai 3 Julai depan bertemakan E-security - Within Your Grasp dan akan dirasmikan oleh Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie.

Persidangan itu bertujuan menyediakan landasan dan forum bagi berkongsi pengalaman, hasil kajian, aktiviti pembangunan dan idea di kalangan ahli akademik,pengamal, profesional dan pihak berkenaan.

Halim berkata pada persidangan itu, satu sesi khas akan diadakan berkaitan dengan penceroboh laman Web.

"Kita akan panggil bekas penceroboh Internet untuk sesi soal jawab..mungkin melalui itu kita dapat tahu apa tujuan sebenar seseorang itu bertindak menceroboh sesebuah laman Web.

Di samping itu, melalui perbincangan itu juga ia akan memberi idea kepada kita cara bagaimana untuk membuat perlindungan,'' katanya.

Antara topik dan perbincangan yang akan dibentangkan pada persidangan itu ialah polisi, undang-undang,pelaksanaan, etika, keselamatan Internet dan rangkaian serta Keselamatan Pusat Data.

Seramai 500 peserta dijangka menghadiri persidangan itu yang dianjurkan bersama oleh kementerian, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), National ICT Security and Emergency Response Centre (NISER) dan Persekutuan Komputer Kebangsaan Malaysia (MNCC).

Tarikh tutup penyertaan persidangan itu ialah 26 Jun 2001. Mereka yang berminat boleh mendapatkan maklumat menerusi emel sekretariat InfoSecurity 2001 diinfosec@mncc.po.my.