Mesra.net diceroboh: MSRN buat laporan polis
Oleh Lukman Ismail
27 Mac 2001 (Utusan Malaysia)

MULTI System Resources And Network (M) Sdn. Bhd. (MSRN) telah membuat laporan polis berhubung pencerobohan Mesra.net, gerbang Web miliknya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab.

Pencerobohan gerbang Web tempatan itu telah disedari ketika kerja-kerja mengemaskinikan Mesra.net dibuat Khamis (16 Mac) lepas, kata pentadbir Mesra.net, Abdull Anur Mohd. Isa.

Menurut beliau, dalam kejadian yang disedari awal pagi itu, pihaknya mendapati ruangan forum Mesra.net telah dicerobohi oleh pihak terbabit dengan memasukkan perkataan-perkataan berbau lucah.

"Inilah kali pertama Mesra.net dicerobohi sejak gerbang Web ini beroperasi sejak 1998.

"Saya percaya pencerobohan ini sengaja dibuat bagi menjatuhkan reputasi Mesra.net,'' kata beliau kepada Utusan Megabait, Isnin lepas.

Abdull Anur berkata, berdasarkan penyelidikan yang dibuat, pihaknya percaya bahawa penceroboh Mesra.net itu datangnya dari Skudai Johor tetapi enggan menjelaskan lebih lanjut memandangkan kes ini di bawah penyiasatan pihak berkuasa.

Beliau berkata, tindakan membuat laporan polis itu dilakukan kerana pihak penceroboh telah membuat ugutan terhadap untuk melakukan kerosakan yang lebih besar pada masa akan datang.

"Tindakan kami ini juga bertujuan tidak mahu melihat perkara yang sama berulang kepada kami dan juga terjadi pada gerbang-gerbang Web yang lain,'' katanya.

Ketika ditanya mengenai tahap keselamatan pelayan Web Mesra.net, beliau berkata, pihaknya tidak dapat memberikan lebih terperinci memandang Mesra.net menggunakan komputer pelayan maya dari luar negara.

"Pada awal penubuhan, Mesra.net menggunakan pelayan Web sendiri dengan tahap keselamatan yang lebih terjamin kerana kami sendiri yang menguruskannya.

"Tetapi kini kami menggunakan pelayan Web maya (virtual) dari luar negara yang tahap keselamatannya tidak begitu diketahui,'' katanya.

Kes-kes pencerobohan laman Web oleh mereka yang tidak bertanggungjawab semakin meningkat di negara ini sejak kebelakangan ini.

Bagaimanapun kebanyakan kes pencerobohan yang dilaporkan sebelum ini melibatkan laman-laman Web kerajaan dan juga institusi pengajian tinggi. Mesra.net merupakan gerbang Web dan enjin pencari tempatan yang telah beroperasi sejak 1998.