Windows XP dilanda kelemahan besar
27th December 2001 (Utusan Malaysia)

MICROSOFT memberi amaran baru-baru ini mengenai kelemahan besar dalam sistem operasi terbarunya Windows XP yang membolehkan penggodam komputer (hacker) mengakses dan mengambil alih komputer pengguna.

Syarikat itu menggesa pengguna XP supaya memindah terima pembetulan (patch) dari tapak Webnya, www.microsoft.com.

Microsoft telah menyediakan pembetulan 'kritikal' berikutan kelemahan keselamatan dalam Windows XP dan menggesa pengguna Windows XP dan versi-versi Windows lain seperti Windows, termasuk Windows 98, 98 SE atau ME yang telah mengaktifkan perkhidmatan Universal Plug and Play bagi membolehkan pemasangan pembetulan itu dengan segera.

Kelemahan keselamatan itu berpunca daripada kelemahan lain yang mendedahkan komputer pengguna kepada serangan penggodam ketika mengakses Internet, yang boleh mengambil alih sepenuhnya PC yang terbabit. Gergasi perisian itu mendakwa telah menjual lebih tujuh juta Windows XP sejak Oktober lepas.

Dalam perkembangan lain, Microsoft telah menyaman pembuat sistem operasi komputer Lindows.com, dengan mendakwa nama Lindows.com terlalu mirip dengan sistem operasi Windows-nya yang begitu dominan.

Microsoft mendakwa Lindows boleh mengelirukan pengguna dan mencabuli tanda niaga sistem Windows, yang digunakan pada kira-kira 90 peratus komputer peribadi (PC) di dunia.

Firma itu memohon mahkamah daerah di Washington DC supaya memerintahkan Lindows menukar namanya, walaupun tidak meminta produk tersebut diubah suai, kata jurucakap Microsoft, Jon Murchinson.

Pengasas dan ketua eksekutif Lindows.com, Michael Robertson, berkata syarikatnya tidak berhasrat mengubah namanya. Beliau sangsi pengguna akan terkeliru antara firma baru dengan 20 kakitangan dengan sebuah empayar perisian besar dunia.

Lindows, yang akan dilancarkan awal tahun depan dilihat sebagai OS pertama yang mampu mengendalikan program yang dicipta untuk OS Linux dan Windows, termasuk aplikasi Microsoft Office yang popular seperti Word dan Excel.

Robertson menuduh Microsoft cuba memusnahkan persaingan dalam sistem operasi yang dimonopolinya.

"Adalah memalukan apabila satu saingan yang kredibel muncul dalam tempoh 10 tahun. Microsoft terpaksa menggunakan taktik membuli ke atas sebuah syarikat kecil,'' kata Robertson. Microsoft pula menegaskan ia hanya mahu melindungi asetnya yang dibina sejak 20 tahun lepas.

Microsoft berharap dapat menyelesaikan aduan itu di luar mahkamah. - AFP, AP