Virus Goner gagal merebak di Asia
6th December 2001 (Berita Harian)

VIRUS Goner yang mampu memadamkan semua fail dalam cakera keras komputer dan menyebabkan kesesakan pada sistem rangkaian komputer di Eropah dan America baru-baru ini gagal merebak di Asia apabila hanya beberapa komputer dilaporkan dijangkiti virus berkenaan.

Goner yang menggunakan aplikasi mel elektronik Microsoft Outlook dan Outlook Express sebagai platform untuk memasuki dan menjangkiti komputer peribadi hingga menyebabkan data yang ada di dalam pemacu cakera keras terpadam.

Pengurus Anti Virus Trend Micro, Hajime Sekiguchi, berkata virus berkenaan gagal di Asia kerana tidak ramai menggunakan program Microsoft Outlook di Asia yang mana ini menyebabkan Goner gagal mengeksploitasi kelemahan Microsoft Outlook.

"Tidak seperti virus Nimda yang berjaya merebak beberapa hari pada September lalu, virus Goner gagal merebak disebabkan tidak ramai yang menggunakan program Microsoft yang mudah dieksploitasi.

"Selagi pengguna tidak menggunakan program Microsoft Outlook maka virus berkenaan tidak dapat merebak," katanya.

Virus itu dikatakan memasuki PC melalui program e-mel Outlook dan Outlook Express Microsoft. Sekiranya pengguna mengaktifkan virus itu secara membuka sisipan e-mel yang dijangkiti, ia mampu menyebabkan kerosakan besar.

McAfee menegaskan bahawa virus itu boleh menghapuskan fail daripada PC pengguna. Cecacing Goner akan mengemelkan dirinya sendiri kepada setiap alamat e-mel yang terdapat dalam buku alamat pengguna.

Virus baru ini muncul selepas cecacing Internet Badtrans, yang juga penyerang Outlook yang menduakan dirinya secara menghantar salinan kepada setiap pengguna terdapat pada senarai alamat. Namun begitu, Badtrans tidak menghapuskan sebarang data pengguna.

Manakala Trend Micro Inc (Trend Micro) berkata, Goner juga berupaya merebakkan dirinya melalui program mesej pantas ICQ dan IRC.

Katanya, sisipan yang dijangkiti kebanyakannya akan dinamakan 'GONE.SCR,' dengan tajuk 'Hi' dan mesej itu akan bermula dengan "How are you? When I saw this screen saver, I immediately thought about you I am in a harry (sic), I promise you will love it!"

Mesej itu juga bertujuan untuk menawarkan kepada penerima satu screen saver sebagai sisipan yang mana sisipan itu akan bertukar menjadi virus sekiranya pengguna membukanya.