Virus Nimda paling berbahaya tahun ini
Berita Harian (6th December 2001)

CECACING Nimda menjadi virus paling memusnah tahun ini dengan mencatat 27 peratus kemusnahan daripada jumlah laporan yang diterima oleh unit bantuan syarikat antivirus, Sophos plc (Sophos). Ini diikuti oleh virus Sircam dengan 20.3 peratus.

Perunding Kanan Teknologi Sophos, Graham Cluley berkata, virus itu yang dikesan merebak pada 18 September juga turut menyebabkan kerugian pada sistem komputer dunia bernilai RM1.9 bilion.

Katanya, sepanjang tahun ini, Nimda dan Sircam menjadi virus utama dengan mencatat hampir separuh daripada keseluruhan serangan yang dilaporkan kepada Sophos.

"Sepanjang tahun ini, Sophos mengesan 11,160 virus, cecacing dan Trojan horses baru dan secara keseluruhannya jumlah virus yang dikesan sepanjang tahun ini ialah 70,000.

"Setiap hari 40 virus baru dapat dikesan dan setiap bulan ia menghasilkan sehingga 1,200 virus. Kira-kira 30 hingga 40 virus yang merebak setiap bulan dikenal pasti sebagai berbahaya dan menyebabkan masalah besar kepada sistem komputer," katanya.

Selain Nimda dan Sircam, virus berbahaya utama lain yang dilaporkan ke Sophos ialah Magistr dengan 12 peratus; Hybris (6.2 peratus); Apology (3.8 peratus); VBSWG-X (3.6 peratus); Kakworm (3.1 peratus); SST-A (dua peratus) dan Badtrans serta Navida dengan masing-masing mencatat 1.8 peratus.

Manakala selebihnya iaitu 18.2 peratus serangan virus dilaporkan datang daripada pelbagai jenis virus kecil.

Dalam laporan 10 senarai virus utama itu, Cluley berkata, tidak wujud laporan mengenai serangan virus terhadap PDA atau telefon bimbit sepanjang tahun ini walaupun terdapat banyak kebimbangan terhadapnya.

Katanya, Nimda berjaya merebak dengan cepat kerana ia menjangkiti komputer menggunakan pelbagai jenis teknik.

"Pengguna dijangka berhadapan dengan pelbagai jenis serangan virus komputer di masa depan.

"Kewujudan virus, cecacing dan Trojan horses dijangka meningkat pada masa depan disebabkan ia mudah untuk dihasilkan berpandukan kepada mudahnya mendapat peralatan menghasilkan virus di Internet," katanya.

Selain itu katanya, serangan virus terhadap komputer pengguna di rumah akan meningkat kerana ramai pengguna lebih kerap berada dalam talian (on-line) dan menggunakan perkhidmatan capaian Internet berkelajuan tinggi seperti ASDL.

"Pengguna di rumah menggunakan Microsoft Outlook dan program e-mel Outlook Express atau perisian pelayan Microsoft harus mempunyai peningkatan terhadap sistem keselamatan atau memasang firewall," katanya.

Dengan meningkatnya serangan itu, pasaran perisian anti virus dunia dijangka meningkat ke RM10.26 bilion menjelang 2004 berbanding RM4.56 bilion pada 1999.