Trojan virus paling popular 2001
6th December 2001 (Utusan Malaysia)

Virus-virus yang merampas kawalan sesebuah komputer kepada seseorang penggodam merupakan ancaman yang menguasai dunia Internet sepanjang tahun ini dan dijangka menjadi lebih pervasif pada masa mendatang, menurut para pakar keselamatan komputer baru-baru ini.

Apa yang digelar sebagai virus komputer kuda Trojan itu lazimnya akan menyusup masuk ke dalam sistem komputer peribadi menerusi e-mel atau cara-cara lain, sekali gus merampas kawalan PC itu kepada orang lain, yang boleh menjejaki setiap ketukan papan kekunci dan nombor-nombor kad kredit.

"Kuda-kuda Trojan meledak hebat sekali,'' kata said Graham Cluley, konsultan teknologi kanan dari Sophos Anti-Virus.

Tahun ini sahaja, lebih 25 peratus yang dikesan oleh Sophos merupakan kuda Trojan, dan menjadikan jenis virus itu paling popular sepanjang 2001. Kuda-kuda Trojan, seperti Code Red II dan yang terbaru Badtrans tidak begitu menonjol sebelum ini.

Penggunaan berprofil tinggi virus kuda Trojan ialah ketika seseorang penggodam memecah masuk ke dalam rangkaian gergasi perisian Microsoft lewat tahun lepas, dan memberikan penceroboh itu akses ke beberapa perisian penting, walaupun Microsoft mendakwa virus itu telah dikesan sebelum ia sempat melakukan sebarang kemusnahan.

Namun begitu, prospek untuk virus Trojan itu adalah `memberangsangkan.'

"Mereka menyusup masuk ke dalam sistem dan bersembunyi,'' kata George Samenuk, ketua eksekutif Network Associates kepada Reuters. ``Kemampuan untuk mengesannya lebih sukar. Anda mungkin perlu membersihkan keseluruhan sistem, sesuatu yang amat sukar,'' jelas beliau.

Satu faktor lain yang memberikan kelebihan kepada virus Trojan ialah pengguna yang melanggani akses Internet pantas menerusi rangkaian televisyen kabel atau telefoni laju. Oleh kerana sambungan sedemikian "sentiasa sedia'' (always on), dan "pintu'' PC keluarga sentiasa terbuka kepada orang lain yang telah mencuri kata laluan sistem mereka menggunakan virus Trojan.

Satu lagi faktor ialah pengguna individu amat jarang menggunakan teknologi firewall dan penghidu virus untuk memberikan tahap perlindungan lebih berkuasa menentang ancaman penggodam, kata Cluley.

Jualan runcit perisian anti virus masih terus satu titik kecil dalam lautan PC pengguna dengan akses Internet. McAfee.com, satu unit di bawah Network Associates, merupakan antara syarikat yang berjaya dalam segmen ini dengan 1.2 juta pelanggan.

Pada umumnya, virus-virus kini semakin canggih dan memusnahkan, kata Samenuk.

Pakar-pakar komputer akur bahawa virus Nimda, "cecacing'' executable yang menyerang pada 18 September lepas dan menyebabkan kemusnahan lebih RM1.9 bilion di seluruh dunia, telah dicipta oleh seseorang pengaturcara berkemahiran tinggi yang menggunakan pelbagai jenis tipu helah.

Seseorang pengguna Internet boleh menyebabkan PCnya dijangkiti dengan hanya melayari tapak-tapak Web yang telah diserang.

Hakikat bahawa seseorang pengaturcara mahir terlibat dalam mencipta virus-virus menjadikan usaha pengesanan dan penjejakan jauh lebih sukar.

Satu perkembangan menarik mengenai virus Trojan ialah ia menyepadukan dua dunia pencipta virus dan penggodam yang sebelum ini beroperasi secara berasingan, kata Cluley.

Penceroboh dan penggodam yang cuba memecah masuk ke dalam sesebuah sistem komputer secara tradisionalnya adalah lebih berkemahiran berbanding pencipta virus.

Kebiasaannya mereka memandang rendah pencipta virus, yang sering kali bergantung kepada pakej-pakej perisian haram untuk menyebarkan secara point and click sesebuah virus baru.

Pada tahun 2001, serangan-serangan virus telah menyebabkan kerosakan besar ke atas sistem-sistem komputer, dan pada tahun 2002 pula pemerhati menjangkakan situasi adalah lebih teruk, menurut laporan PricewaterhouseCoopers.

Sementara itu IDC meramalkan pasaran perisian anti virus global akan melonjak kepada RM10.26 bilion pada tahun 2004 berbanding RM4.56 bilion pada 1999. - Reuters.