Virus: Microsoft lindungi pengguna
By Hizral Tazzif Hisham
30th November 2001 (Berita Harian)

MICROSOFT Corp (Microsoft), mengumumkan Program Perlindungan Teknologi Stratgik (PPTS) sebagai inisiatif untuk melindungi pelanggannya daripada serangan virus dan penceroboh sistem rangkaian komputer.

Ketua Pegawai Keselamatannya, Howard A Schmidt, berkata program berkenaan bertujuan memberi perlindungan sepanjang masa kepada pelanggan dan pengguna produk Microsoft daripada serangan virus.

"Kebanyakan program virus yang dicipta lebih banyak menyerang perisian keluaran Microsoft dan menjadi tanggungjawab Microsoft untuk memberi perlindungan kepada pelanggannya," katanya di Subang Jaya, semalam.

PPTS mempunyai tiga kaedah pelaksanaan iaitu pengurus akaun teknikal atau wakilnya akan bekerjasama dengan pelanggannya di seluruh dunia untuk memastikan keselamatan sistem rangkaian mereka, sokongan pelanggan secara percuma dan peralatan kit keselamatan yang boleh dipindah turun secara percuma daripada laman web Microsoft iaitu www.microsoft.com/security.

Schmidt berkata, Microsoft juga akan memperkenalkan program jangka panjang bagi memastikan sistem rangkaian komputer bebas daripada pencerobohan dengan menyediakan Perkhidmatan Maklumat Internet (IIS) yang dapat disesuaikan dengan keperluan mereka.

"Selain itu, pengguna akan disediakan dengan peralatan IIS yang mampu beroperasi secara automatik," katanya.

Beliau berkata, Microsoft akan terus memainkan langkah proaktif bagi memastikan pelanggannya tidak terdedah kepada serangan virus kerana sebahagian besar virus yang menyerang sistem rangkaian komputer menggunakan perisian Microsoft sebagai pintu masuk.

"Selepas serangan Pusat Dagangan Dunia di New York 11 September lalu terdapat kebimbangan yang nyata di kalangan organisasi terhadap serangan pengganas yang mungkin menggunakan kaedah peperangan maklumat elektronik seperti virus, pemalsuan maklumat dan virus untuk melumpuhkan organisasi atau negara," katanya.

Malaysia juga tidak terlepas daripada isu keselamatan sistem rangkaian komputer.

Kajian yang dilakukan Pusat Tindakbalas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser) mendapati dua pertiga daripada syarikat yang diselidiki didapati pernah mengalami masalah pencerobohan sistem rangkaian komputer.

Beliau berkata, organisasi perniagaan membuat pelaburan yang besar dalam pembelian perisian di negara ini tetapi mengalami kerugian sebanyak RM239,000 bagi setiap 205 syarikat yang diselidiki oleh Niser.

"Isu keselamatan sistem rangkaian komputer adalah penting. Pentadbir sistem rangkaian perlu diberi kesedaran dan kepakaran untuk menangani masalah berkenaan," katanya.