Serangan Internet meningkat 64 peratus
11th July 2002 (Utusan Malaysia)

Bilangan serangan Internet untuk tempoh sehingga Jun tahun ini telah melonjak 64 peratus berbanding tahun lepas, dengan statistik menunjukkan sesetengah serangan itu dilakukan oleh "penggodam yang handal,'' menurut sebuah firma keselamatan, Riptech, Isnin lepas.

Lapan puluh peratus daripada serangan itu dikesan berpunca dari 10 negara sahaja: Amerika Syarikat, Jerman, Korea Selatan, China, Perancis, Kanada, Itali, Taiwan, Britain dan Jepun.

Menurut Elad Yoran, satu daripada pengarang laporan tersebut, serangan siber boleh dilancarkan dari sesebuah negara biasa atau pun negara-negara yang menyokong pengganas.

Laporan itu menyebut aktiviti terorisme siber mungkin juga berpunca dari negara-negara yang lazimnya dikaitkan dengan kegiatan melindungi dan merekrut pengganas, termasuk Iran, Pakistan, Mesir, Kuwait, dan Indonesia.

"Banyak negara (yang dikaitkan dengan pengganas) mempunyai mempunyai infrastruktur Internet yang tidak maju.''

"Agak mustahil mengesan sebarang terorisme siber dari negara sedemikian, kerana mereka perlu menumpang ruang Internet orang lain,'' katanya.

Beliau mengatakan penggodam kini menggunakan teknik-teknik yang jauh lebih canggih, seperti "tabir asap'' yang boleh digunakan untuk melindungi aktiviti jahat dan melancarkan serangan siber.

Beliau menegaskan syarikat yang melaksanakan langkah pencegahan mampu mengelakkan risiko serangan siber ke atas rangkaian komputer mereka. - AFP