Peminat bola hati-hati dengan ancaman virus
23rd May 2002 (Utusan Malaysia)

PENGGUNA komputer yang juga peminat bolasepak di seluruh negara harus lebih berhati-hati dalam menjalankan aktiviti Internet menjelang kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung tidak lama lagi agar tidak menjadi mangsa serangan virus.

Menurut syarikat perisian anti-virus berpangkalan di United Kingdom, Sophos, mengikut kebiasaannya, pencipta-pencipta virus sering menggunakan keghairahan pengguna komputer dalam menyambut kejohanan itu sebagai landasan mudah untuk mereka menyebarkan virus.

Penyebaran virus boleh dilakukan dengan mudah menjelang kejohanan sebegini kerana ramai peminat bola sepak di seluruh dunia akan memindah terima fail-fail berkaitan Piala Dunia seperti 'screensaver', carta perlawanan elektronik dan sebagainya kepada komputer mereka.

"Fail-fail yang dipindah-terima dari Internet ini menjadi landasan mudah untuk mereka (pencipta dan penyebar virus) menyelitkan sekali virus di dalam fail itu,'' kata Pengarah urusan, Sophos Anti Virus Asia, Charles Cousins.

Piala Dunia buat pertama kalinya akan diadakan di rantau Asia yang dianjurkan secara bersama oleh Korea Selatan dan Jepun. Ia akan bermula 31 Mei ini di Seoul.

Sophos menasihatkan para pengguna PC tidak membuka sebarang lampiran e-mel yang diragui dan memindah bahan-bahan dari Internet yang tidak dapat dikenal pasti keselamatannya dari jangkitan virus.

"Kami telah melihat penyebar virus telah menggunakan sepenuhnya populariti orang terkenal seperti Anna Kournikova dan Britney Spears dalam usaha menyebarkan virus. Peminat David Beckham atau Michael Owen mungkin akan menjadi mangsa selepas ini,'' kata Cousins.

Sejarah Piala Dunia lepas juga telah membuktikan kejohanan itu telah digunakan sebagai landasan menyebarkan virus dan tidak mustahil ia akan berulang lagi kali ini.

Pada 1998, ketika Piala Dunia diadakan di Perancis, virus WM97/ZMK-J telah meminta mangsa bertaruh pasukan mana yang akan menang dan pengguna yang tidak memilih pasukan yang betul berhadapan dengan risiko menghidupkan virus yang akan 'membersihkan' data dalam cakera keras.

Bagi Sophos, pengguna komputer di seluruh dunia perlu berhati-hati dan melaksanakan strategi pertahanan yang kental dalam menghadapi percubaan anasir-anasir tidak diingini yang ingin mendapat 'kejayaan' yang tidak sepatutnya.