Ancaman keselamatan ICT negara rugi RM22j
30th April 2002 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 29 April - Masalah serangan dan ancaman keselamatan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) telah menyebabkan negara kerugian kira-kira RM22 juta tahun lepas, kata Menteri Tenaga, Komunikasi dan Multimedia, Datuk Amar Leo Moggie.

Beliau berkata, mengikut kajian Pusat Keselamatan Dan Tindakbalas Kecemasan ICT Kebangsaan (NISER), jumlah tersebut merupakan jumlah kerugian keseluruhan yang disebabkan masalah keselamatan berkaitan komputer, termasuk serangan virus dan pencerobohan komputer.

"Kajian tersebut juga menunjukkan serangan virus berterusan seperti Sircam, Code Red dan Nimda telah memberi kesan kerugian yang agak besar kepada syarikat dan agensi kerajaan di negara ini,'' katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Perkhidmatan Forensik Komputer oleh NISER di Seri Kembangan, dekat sini, hari ini.

Sebelum itu, Moggie berkata, masalah serangan virus-virus tersebut yang melanda dari September hingga November tahun lepas telah menyebabkan kerugian yang besar kepada negara-negara di seluruh dunia.

Di Amerika Syarikat, laporan agensi berita Reuters menyatakan serangan cecacing Code Red sahaja telah menyebabkan kerugian kira-kira RM4.56 bilion kepada industri di negara itu.

Moggie berkata, masalah keselamatan komputer bagi urusan transaksi dalam talian juga merupakan satu perkara yang perlu diberi perhatian serius oleh pengguna dan industri.

Katanya, laporan oleh Institut Kriminologi Australia misalnya mendapati antara 5 dan 10 peratus transaksi dalam talian di rantau Asia Pasifik mempunyai unsur-unsur penipuan.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengambil pelbagai langkah berterusan dalam menangani masalah keselamatan komputer memandangkan negara ini kini dalam proses melaksanakan pembangunan ICT secara besar-besaran.

"Dalam usaha kita membangunkan negara menjadi negara maju, kita perlu memastikan ruang siber negara adalah selamat dan dilindungi sepenuhnya bagi melancarkan proses tersebut,'' katanya.

Setiausaha Majlis Teknologi Maklumat Kebangsaan (NITC), Datuk Dr. Tengku Mohd. Azzman Shariffadeen berkata, perkhidmatan forensik komputer yang ditawarkan NISER mampu mempertingkatkan tahap keselamatan berkaitan komputer di negara ini.

Perkhidmatan forensik komputer NISER merupakan perkhidmatan pemulihan data komputer yang hilang akibat dicerobohi dan juga mengesan jejak penjenayah yang melakukan perbuatan tersebut.

"Perbuatan jenayah siber itu akan dibuktikan melalui perkhidmatan forensik yang kemudian boleh disusuli dengan tindakan oleh penguat kuasa undang-undang,'' kata Mohd. Azzman yang juga Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, MIMOS Berhad.