Malaysia kurang pakar keselamatan sistem komputer
By Khairul Anuar Samad
3rd April 2002 (Berita Harian)

DATA sulit kerajaan kini sentiasa terdedah kepada pencuri online atau virus akibat kegagalan kerajaan untuk meningkatkan jumlah tenaga pakar dalam sistem keselamatan komputer negara.

Sehubungan itu, kerajaan disaran menumpukan perhatian terhadap isu itu dengan menambahkan jumlah tenaga pakar berkenaan sebelum negara berhadapan dengan masalah kehilangan data lebih serius lagi.

Pengurus Jualan Negara Trend Micro Malaysia, Wong Joon Hoong berkata, berdasarkan kepada senario semasa, banyak sektor kerajaan dan agensinya didapati tidak mempunyai kepakaran berkenaan.

Katanya, kebanyakan sektor kerajaan hanya mempunyai pengaturcara komputer yang tugas utamanya hanya mengisi data atau melaksanakan sesuatu program untuk jabatannya.

Mereka hanya menjalankan tugas biasa berhadapan dengan komputer dan tidak mahu menunjuk pandai menangani masalah keselamatan sistem komputer kerana takut kehilangan kerja, katanya.

"Isu keselamatan komputer jarang dititikberatkan kerana tidak ada pihak yang khusus ditugaskan untuk berhadapan dengan masalah berkenaan. Kerja mengemas kini data sistem komputer hanya dilakukan apabila serangan virus atau penceroboh sistem komputer berlaku.

"Keadaan ini menjadikan data atau rahsia sulit kerajaan sentiasa terdedah kepada serangan penceroboh sistem komputer atau virus pada bila-bila masa," katanya kepada Berita Komputer, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Wong berkata, kerajaan harus memberi perhatian serius terhadap isu ini dengan meningkatkan jumlah tenaga pakar sekurang-kurangnya seorang untuk setiap jabatan utama.

Katanya, sektor kerajaan tidak harus berpuas hati apabila sistem komputer mereka sudah dipasang dengan firewall dan menganggap sudah selamat daripada sebarang serangan.

"Keutamaan di sini ialah pakar yang mampu membuat kawal selia terhadap segala gangguan yang berkemungkinan berlaku terhadap sistem komputer mereka seterusnya menggugat kedudukan data penting," katanya.

Daripada seminar keselamatan sistem komputer untuk pelbagai sektor kerajaan baru-baru ini, beliau berkata, tindak balas menunjukkan banyak sektor kerajaan masih lemah dalam mengatasi isu itu.

"Antara 15 hingga 20 agensi kerajaan berkenaan akhirnya berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai ciri keselamatan komputer dan hasil temubual mendapati mereka perlu kepakaran dalam bidang itu," katanya.