Biometriks, keselamatan teknologi pilihan 2002
3rd January 2002 (Utusan Malaysia)

ALAT pembaca cap jari dan pengimbas wajah atau mata merupakan teknologi yang paling popular pada pameran komputer Amerika Syarikat terbesar Comdex baru-baru ini, walaupun syarikat-syarikat kini sibuk mendapatkan rumusan sistem keselamatan komputer terkini.

Syarikat vendor keselamatan komputer menyatakan sistem pengenalan mereka akan berada di pasaran bagi membendung pencerobohan dan aktiviti jenayah.

Sistem pengenalan biometrik yang mampu mengenal pasti pengguna sebenar akan menjadi trend dalam masa beberapa tahun ini seperti pemandu hanya perlu meletakkan cap jari atau imbasan wajah untuk memasuki atau menghidupkan enjin kereta.

Sebuah syarikat trak di Jerman misalnya berminat dengan produk tersebut bagi mengatasi masalah perampas lori yang sering berlaku di Eropah Timur dan telah meminta Cognitec AG, sebuah syarikat perisian pengenalan wajah di Jerman membekalkan rumusan tersebut.

"Ini akan menjadi trend pengeluaran pintu kereta di masa depan,'' kata Bolko Graf von Haslingen, pengurus besar syarikat itu.

Beliau berkata, minat terhadap produk biometriks tersebut meningkat dengan besarnya selepas peristiwa 11 September apabila pesawat yang dirampas digunakan untuk memusnahkan World Trade Center dan Pentagon.

Cognitec misalnya telah menawarkan sistem yang bermula dengan harga RM262 untuk perisian mengakses komputer peribadi (PC) yang mempunyai kamera web. Demo perisian tersebut boleh dipindah-terima (download) dari tapak web http://www.cognitec-ag.com.

Bagaimanapun, mengakses komputer bukan perkara besar masa kini, kata Carter Marantette, Pengarah jualan Persekutuan Precise Biometrics AB, sebuah syarikat Sweden yang membangunkan perisian pengecaman berasaskan cap jari.

Sejak peristiwa 11 September, akses fizikal telah menjadi lebih penting daripada akses maklumat di dalam komputer, katanya.

"Kemana sahaja kita pergi memerlukan pengesahan yang boleh dilakukan melalui telefon bimbit dan PDA (alat bantuan digital peribadi),'' katanya.

Marantette menjangkakan prototaip telefon bimbit yang dilengkapi cip pengesahan yang akan membolehkan transaksi perdagangan bergerak akan menjadi pilihan di tahun-tahun selepas ini.

Sementara itu, EDS Corp. EDS.N, syarikat perkhidmatan teknologi yang melakukan kerja-kerja mereka bentuk sistem keselamatan lapangan terbang menyatakan teknologi bukan isu utama.

"Apa yang penting ialah kemampuan teknologi untuk bersepadu antara satu sama lain seperti antara kerajaan dan syarikat penerbangan,'' kata Jim Dullum, presiden Kumpulan industri pengangkutan EDS.

Rancangannya ialah untuk membahagikan lapangan terbang kepada sektor keselamatan dan kawalan akses kakitangan menggunakan kad pengenalan diri dengan pengesahan biometrik seperti pemeriksaan cap jari.

EDS juga mencadangkan agar kad pengenalan nasional dilengkapi dengan fungsi biometrik dan mereka akan lebih mudah untuk mengakses kawasan-kawasan yang sering dilawati seperti lapangan terbang yang memudahkan kawalan keselamatan.

Bagaimanapun, bagi memastikan sistem itu berupaya memberi kesan yang lebih, akses kepada pangkalan data-pangkalan data kerajaan dan swasta perlu bersepadu menggunakan teknologi biometrik.

Dullum berkata, sistem itu dapat dilaksanakan hanya dalam masa beberapa bulan jika keputusan mengenainya boleh dilakukan oleh kerajaan dengan segera.

"Kita hidup dalam era teknologi tetapi yang paling sekarang ialah isu polisi bagi menentukan kebolehan teknologi menyerapi dalam kehidupan,'' kata Dick Brown, ketua pegawai eksekutif EDS.- Reuters