Penulis virus lebih hebat tahun depan
http://www.emedia.com.my/Current_News/BH/Monday/Komputer/20021229223907/Article/
29th December 2002 (Berita Harian)

TAHUN depan industri teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dunia dijangka akan berhadapan dengan serangan virus lebih hebat berbanding tahun ini berikutan jangkaan syarikat utama dalam perlindungan antivirus korporat, Sophos, yang mengatakan penulis virus tetap berkeras untuk terus menyebar virus dan ia dikatakan lebih hebat berbanding sebelum ini.

Sophos menjangkakan penulis virus berkenaan akan meneruskan perancangan drastik mereka untuk terus menyebarkan virus Windows 32 memandangkan kaedah penyebaran secara meluas ini dikatakan mempunyai kesan merebak paling hebat terhadap sistem rangkaian komputer.

Virus Windows 32 ini dijangka akan menggunakan teknik penipuan penghantaran untuk muncul dan meningkatkan tahap kekeliruan di kalangan pengguna komputer.

Bagi serangan yang sudah dirancang, Sophos mengandaikan akan berlaku peningkatan dalam jenis serangan berbentuk Backdoor Trojans, itu kaedah membuka lubang atau pintu rahsia dalam sesuatu sistem operasi (OS) untuk membolehkan penceroboh sistem komputer menanam peralatan akses jarak jauh (RATs).

Melalui RATs ini, ia membolehkan penceroboh sistem komputer itu mengawal dari jauh komputer peribadi (PC) yang sudah dijangkiti virus tadi.

Kaedah seperti ini pernah dilakukan oleh penceroboh sistem komputer terkemuka dunia, Gary McKinnon, yang dikatakan menceroboh ke dalam sistem rangkaian komputer kerajaan Amerika Syarikat (AS). McKinnon menanam RATs dalam sistem komputer berkenaan untuk mencuri kata laluan dan maklumat sulit kerajaan AS.

Mengenai perlindungan antivirus, Sophos menjangkakan tahun depan banyak sektor perniagaan akan bertindak membuat penanaman teknologi perimeter pada sistem mereka yang berupaya menyekat fail jenis berbahaya yang membawa virus melalui laluan e-mel mereka seperti fail .EXE.

Selain Sophos, syarikat utama dalam perlindungan keselamatan kandungan Internet dan antivirus sistem rangkaian, Trend Micro Inc. (Trend Micro), turut menjangkakan 2003 akan terus menyaksikan sistem rangkaian komputer terus menjadi mangsa serangan virus.

Pengurus Jualan Negara Trend Micro Malaysia, Wong Joon Hoong, berkata kewujudan ancaman yang pelbagai bagi mencetuskan serangan hebat terhadap sistem rangkaian komputer dikatakan masih lagi dalam bentuk standard sebagaimana berlaku masa kini.

Selain itu katanya, kemunculan virus baru dan virus masa depan akan lebih berkonsepkan kepada usaha untuk melumpuh serta menghapuskan halangan kepada merebaknya virus seperti sistem antivirus, firewall persendirian atau program pengesanan antivirus seperti Trojan Horse.

"Berdasarkan kepada senario membimbangkan ini, perisian penapisan web atau sekurang-kurangnya melakukan satu polisi selamat dalam melayari Internet harus dilaksanakan untuk persekitaran korporat bagi mencegah serangan secara langsung virus terhadap sistem rangkaian komputer," katanya.

Sembilan daripada 10 serangan virus utama tahun ini adalah dalam bentuk mel meluas iaitu virus Windows 32 dan 87 peratus daripada keseluruhan laporan kepada Sophos mengenai serangan virus sepanjang 2002 adalah membabitkan virus Windows 32.