Klez Worm virus paling aktif tahun ini
23rd December 2002 (Berita Harian)

SYARIKAT utama dalam perlindungan antivirus korporat, Sophos Pls (Sophos), mencatat hampir satu perempat laporan serangan virus yang diterima oleh jabatan sokongan pelanggannya sepanjang tahun lalu adalah daripada jenis Klez Worm.

Klez Worm, mencatat tempat utama dalam carta bulanan Sophos bagi tujuh bulan berturut-turut menjadikannya virus paling cergas sepanjang 2002.

Bugbear Worm menjadi virus kedua aktif walaupun ia hanya berjaya dikesan pada Oktober lalu manakala Badtrans, virus yang mencuri kata laluan berada tangga ketiga dan kemunculannya hanya dikesan pada November.

Sembilan daripada keseluruhan 10 virus utama pada 2002 adalah virus mel massa Windows 32 yang mana 87 peratus daripada keseluruhan serangan sepanjang tahun ini membabitkan virus Windows 32.

Sophos berjaya mengesan 7,189 virus baru, cecacing dan Trojan horses sehingga kini dan makmal perlindungan virus Sophos mengesan lebih 25 virus baru setiap hari.

Perunding Kanan Teknologi Sophos, Graham Cluley, berkata tidak seperti virus utama sebelum ini iaitu LoveBug yang hilang dengan cepat, Klez Worm menjadi virus paling lambat untuk dihapuskan sehingga berjaya memberi kesan secara berterusan kepada pengguna.

"Perlindungan terhadap Kelz Worm berlanjutan selagi ia masing berlegar dalam sistem dan kejayaan virus itu untuk terus hidup ialah kerana sikap sesetengah pengguna yang masih mengabaikan untuk mempertingkatkan tahap perisian antivirus mereka," katanya.