Maklumat transaksi internet dilindungi
10th October 2003 (Berita Harian)
By Mohd Ridzwan Md Iman

KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menguatkuasakan Undang-undang Perlindungan Data Peribadi, awal tahun depan, bagi menjamin maklumat peribadi dan keselamatan pengguna tidak disalahgunakan pihak tertentu menerusi transaksi elektronik atau internet.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Rais Yatim, berkata pada masa ini Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Multimedia sedang menyediakan draf undang-undang itu yang turut bertujuan mengawal selia, mengumpul, menyimpan dan memproses penggunaan data peribadi dengan lebih sistematik.

Katanya, Kabinet sudah dimaklumkan berhubung perkembangan penyediaan undang-undang itu.

"Kerajaan begitu komited bagi mewujudkan undang-undang itu bagi memastikan semua data peribadi termasuk rekod masa lampau yang dimiliki individu, badan swasta dan korporat selamat, dilindungi serta tidak disalahgunakan.

"Kita dapati, hampir semua pangkalan data seseorang itu boleh dicapai atau dicuri oleh pihak yang mempunyai kepentingan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan seminar Perlindungan Data Peribadi di sini, semalam.

Rais berkata, banyak perkara yang bakal dimasukkan dalam undang-undang itu dan akan dijadikan sebagai garis panduan dalam menangani masalah jenayah termasuk membabitkan kecurian data peribadi.

Katanya, undang-undang berkenaan juga berupaya melindungi pengguna kad pelbagai guna yang berfungsi sebagai kad pengenalan, pasport, kad kredit dan e-perubatan

"Kita tidak menafikan dengan kehebatan dunia siber, pada masa depan data kesihatan dan rekod perubatan termasuk profil DNA seseorang boleh dicapai serta disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab.

"Oleh itu, pelbagai pihak yang menyimpan banyak data peribadi seperti bank, hospital, syarikat insurans perlu menekankan aspek perlindungan maklumat berkenaan," katanya.

Mengenai hukuman yang akan dikenakan terhadap penjenayah yang mencuri data peribadi, Dr Rais berkata, pada dasarnya penjenayah yang disabitkan kesalahan mencuri data peribadi seseorang boleh dikenakan hukuman maksimum 12 tahun.