Negara rugi RM31j serangan terbaru virus komputer
By MOHD. RIDZWAN MD. IMAN
29th August 2003 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 28 Ogos - Serangan tiga jenis cecacing komputer - Blaster, Nachi dan Sobig-F, sejak dua minggu lepas telah menyebabkan negara kerugian kira-kira RM31 juta, menurut Pusat Respons Kecemasan Keselamatan ICT Kebangsaan (NISER).

Pengarah NISER, Lt. Kol. Husin Jazri berkata, anggaran kerugian itu dibuat berdasarkan kos untuk membersihkan komputer daripada cecacing itu di kalangan organisasi besar di negara ini.

"Anggaran ini, bagaimanapun tidak termasuk kerugian produktiviti dan peluang perniagaan yang terlepas disebabkan serangan yang menyebabkan kesesakan rangkaian tersebut,'' katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Beliau menjangka hampir semua organisasi besar di negara ini telah diserang cecacing Internet (Blaster dan Nachi) dan cecacing e -mel (Sobig-F), walaupun tidak banyak yang membuat laporan rasmi.

"Setakat ini, NISER menerima 17 kes akibat serangan Blaster, 21 laporan akibat Nachi dan 41 laporan akibat Sobig-F yang angka-angka tersebut dijangka hanya mewakili dua atau tiga peratus daripada jumlah kes sebenar,'' jelasnya.

Husin berkata, syarikat dan organisasi besar di negara ini seperti sektor kerajaan, kewangan, telekomunikasi dan syarikat multinasional merupakan organisasi yang terjejas teruk akibat serangan cecacing-cecacing tersebut.

Beliau menjelaskan statistik daripada pemantauan NISER mendapati serangan cecacing Blaster telah menurun tetapi cecacing Nachi masih merebak dengan meluas dan belum menunjukkan tanda-tanda penurunan.

Beliau berkata, cecacing Nachi yang telah memadamkan cecacing Blaster dalam komputer mangsa, mempunyai keupayaan untuk menyesakkan rangkaian syarikat atau organisasi dalam masa yang singkat.

"NISER mendapati komputer yang telah dijangkiti virus ini mampu melakukan 3,900 aktiviti pengimbasan setiap minit terhadap komputer lain di dalam rangkaian,'' katanya.

Bagaimanapun, katanya, kebanyakan pengguna tidak menyedari mengenai aktiviti cecacing ini dan hanya merasakan kelembapan kepada sistem rangkaian mereka.

Cecacing Sobig-F yang disebarkan melalui lampiran e-mel pula berkemampuan melakukan aktiviti penyebaran dengan menghantar e-mel mengandungi virus secara sendiri.

"Apabila terlalu banyak komputer telah dijangkiti cecacing ini, ia mampu menyebabkan komputer pelayan e-mel menghadapi kesukaran untuk beroperasi seperti biasa dan boleh menyebabkannya terhenti,'' katanya.

Para pengguna dinasihatkan mendapatkan maklumat lanjut bagaimana untuk mengatasi masalah serangan cecacing ini melalui laman web NISER di alamat http://www.niser.org.my atau syarikat perisian anti virus yang mereka langgan.