Virus Blaster ada bom masa: Pakar
14th August 2003 (Berita Harian)

PARIS: Serangan terbesar virus komputer tahun ini menjejaskan perniagaan, jabatan kerajaan dan pengguna persendirian di seluruh dunia semalam dengan sasaran utamanya sistem Windows Microsoft dan pengasasnya, Bill Gates.

Lebih sejuta komputer lumpuh di Amerika Utara, Asia dan Eropah serta ia tersebar dengan semakin pantas kerana boleh meningkat dengan sendirinya di internet, kata pakar.

Malah, laporan mengatakan, semua virus 'Blaster' yang terkumpul dalam semua komputer sehingga ini akan sekali lagi melancarkan serangan besar-besaran pada Sabtu depan terhadap sistem Windows Microsoft yang akan berterusan hingga akhir tahun ini.

Pakar itu berkata, virus berkenaan mengandungi 'bom masa' yang akan dilepaskan Sabtu ini dan mungkin mengatasi cubaan sistem Microsoft memindah turun perisian bertujuan menutup kelemahannya bagi menyekat virus itu bermaharajalela.

Virus itu yang dipanggil Blaster juga digelar 'Lovsan' dan 'MSBLAST'. Ia mula melumpuhkan komputer kelmarin.

Antara mangsa terbesarnya termasuk Bank Simpanan Persekutuan Amerika Syarikat di Atlanta yang terpaksa menutup sistem komputernya kerana diserang Blaster sekalipun tiada tanda-tanda gangguan terhadap sistem kewangan Amerika.

Satu lagi mangsa ialah Pentadbiran Kenderaan Maryland (MMVA) yang menguruskan lesen memandu dan pendaftaran kenderaan.

"Virus itu melanda keseluruhan sistem. Kami menutup operasi pada tengah hari," kata seorang pegawai MMVA.

Virus itu dianggap unik kerana tidak bergantung kepada e-mel untuk menyerang komputer sebaliknya disebarkan menerusi komunikasi internet.

Selain melumpuhkan sistem dan memperlahankan lalu lintas Internet, virus itu juga menyiarkan mesej menyindir Gates.

"Billy Gates mengapa kamu membenarkan perkara ini? Berhenti buat duit dan baiki perisian kamu." kata mesej itu.

Pemilik komputer individu dan peniaga kecil menjadi sasaran utama serangan virus itu yang bermula awal minggu ini membabitkan pertubuhan kerajaan dan firma gergasi, kata firma keselamatan Internet, McAfee.

Firma melawan virus komputer di Jepun, Trend Micro, menyatakan virus itu diberi tersebar dengan pantas dan serangan komputer kedua terbesar terhadap ekonomi kedua terbesar di dunia. - Agensi