Takrif semula konsep keselamatan di era IT
10th May 2004 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 10 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan konsep keselamatan dalam sesebuah organisasi ditakrif semula yang disepadukan dengan pengendalian sistem rangkaian maklumat.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, ini kerana dunia siber sekarang sudah berubah yang turut menuntut perubahan dalam organisasi swasta dan kerajaan.

"Misalnya peranan Ketua Pegawai Keselamatan tidak lagi hanya berperanan menjaga harta dan memantau pergerakan keluar masuk pelawat tetapi patut mengintegrasikan sepenuhnya kepada kawalan akses oleh mana-mana individu terhadap premis organisasi, aset serta rangkaian maklumat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan persidangan 'Hentikan Penggodam' 2004 di Hotel Renaissance, di sini hari ini.

Selain kakitangan teknologi maklumat yang terdapat dalam organisasi berkenaan, katanya, kakitangan biasa juga perlu dilengkapkan dengan pengetahuan dan polisi maklumat keselamatan mereka.

"Dengan cara ini, mungkin syarikat itu terlindung daripada mereka yang hendak mengkhianati sistem maklumat mereka.

"Sesebuah organisasi perlu bersikap proaktif dengan mengambil langkah-langkah awal sebelum sistem kita terancam sama ada oleh virus dengan sengaja atau tidak sengaja dan juga menyebabkan rangkaian sistem maklumat lumpuh akibat pengganas siber,'' ujarnya.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu, dengan peningkatan penyebaran virus dan kegiatan merosakkan laman web oleh penggodam siber jelas menunjukkan kelemahan dalam rangkaian sistem maklumat negara.

Beliau berkata, walaupun penggunaan teknologi maklumat dan Internet membawa banyak faedah kepada negara, tetapi ia turut mendatangkan kerumitan kepada isu keselamatan negara dan akhirnya terhadap politik dan kestabilan sosial.

"Semua agensi kerajaan dan swasta perlu melengkapkan kakitangan tertentu dengan pengetahuan dan kemahiran terkini dalam usaha menangani ancaman penggodam siber,'' tambahnya.

Timbalan Perdana Menteri menegaskan, pendekatan secara defensif dan reaktif tidak lagi sesuai dilakukan pada masa sekarang.

Sebaliknya kata beliau, sesebuah organisasi perlu bertindak secara proaktif dalam menangani isu berkaitan dengan keselamatan maklumat.

Najib turut menyarankan semua organisasi menggunakan peralatan yang sama digunakan oleh penggodam komputer dalam usaha untuk menangani ancaman pengganas siber.

Beliau mahukan ancaman penggodam itu diberi perhatian dan tidak wajar hanya menganggapnya sebagai grafiti elektronik.

Katanya, sistem dan laman web sedia ada dilihat begitu mudah untuk ditembusi dan dimusnahkan oleh penggodam.

"Kerajaan akan terus memainkan peranan untuk memastikan kesemua kegiatan berasaskan elektronik dan transaksinya diletakkan di bawah kawalan yang lebih ketat,'' katanya.

Malah tambah Najib, kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk menggubal satu kerangka undang-undang dan penguatkuasaan untuk memelihara dan melindungi rangkaian maklumat negara itu.

Bagi mencapai hasrat itu, katanya, tiga akta lagi akan dibentangkan pada persidangan Parlimen ini iaitu Akta Perlindungan Persendirian; Akta Transaksi Elektronik dan Akta Aktiviti Elektronik Kerajaan.