MyCERT, Microsoft sedia tip atasi cecacing
2nd February 2004 (Berita Harian)

SERANGAN MyDoom dijangka akan berterusan dan penganalisis tidak dapat menentukan jangka masa yang tepat bila serangan cecacing ini akan lemah, tambahan lagi ia dijangka melakukan serangan baru terhadap sistem operasi berasaskan Unix atau perisian percuma menjelang Februari ini.

Memandangkan pengguna komputer akan terus menjadi mangsa serangan MyDoom, Pasukan Tindak Balas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Malaysia (MyCERT) menyarankan pengguna supaya tidak membuka sebarang sisipan yang tidak dikenali pada e-mel mereka.

Pengguna disarankan memusnahkan sebarang e-mel yang mencurigakan atau boleh diarahkan kepada penyedia perkhidmatan Internet (ISP) atau CERT tertentu bagi pengesahan.

Amalan dan panduan e-mel selamat boleh dirujuk pada www.mycert.org.my/faq-safe_email_practices.htm.

Di samping itu, pengguna juga harus memastikan komputer mereka dipasang dengan perisian antivirus dan dipertingkatkan selalu. Mereka yang tidak mempunyai antivirus pada sistem, boleh muat turunkan daripada laman www.mycert.org.my/anti-virus.htm.

Pentadbir sistem rangkaian harus memasang saringan antivirus di pintu masuk e-mel bagi menyekat sisipan cecacing yang dijangkiti.

Bagi komputer dijangkiti, langkah berikut harus dilakukan iaitu putuskan sambungan komputer daripada sistem rangkaian dan muat turunkan Automatic Removal Tool yang disediakan Trend Micro daripada komputer yang tidak dijangkiti ke disket. Automatic Removal Tool boleh diperoleh melalui www.trendmicro.com/download/dcs.asp.

Selepas muat turun itu, pengguna perlu melancarkan Automatic Removal Tool itu ke dalam komputer yang dijangkiti bagi mengesan dan mencuci cecacing berkenaan.

Imbas sekali lagi komputer untuk kemas kini antivirus bagi mengesahkan ia bersih sebelum disambungkan semula ke sistem rangkaian.

Microsoft Malaysia pula menyarankan pengguna mengikut tiga garis panduan di www.microsoft.com/protect.

Tiga panduan itu ialah guna Firewall Internet pada semua komputer atau laptop; kemas kini komputer yang tersediakan secara automatik dalam Windows XP dan guna perisian antivirus terkini.