Awas! Pencerobohan laman web besar-besaran
28th January 2004 (Utusan Malaysia)

PUSAT Respons Kecemasan Komputer Malaysia (MyCerT) memberi amaran terdapat aktiviti pencerobohan komputer secara besar -besaran di negara ini yang membabitkan 157 laman web sepanjang minggu lepas.

Menurut MyCert, aktiviti pencerobohan tersebut membabitkan penukaran muka utama laman-laman web yang dimiliki oleh pelbagai agensi termasuk agensi kerajaan, pendidikan dan swasta.

"Pemantauan MyCert mendapati terdapat dua kumpulan penceroboh komputer yang berkemungkinan dari Brazil sedang aktif melakukan aktiviti tersebut,'' jelas MyCert dalam kenyataan akhbar.

Menurutnya, kumpulan yang dikenali sebagai 'Red Eye' telah menjalankan aktiviti menukar muka utama laman web agensi kerajaan dan kumpulan 'Ir4dex' pula menjadikan laman web .com, .edu, .org dan .net sebagai sasaran mereka.

Menurut MyCert, agensi itu juga menerima laporan dari Pusat Respons Keselamatan Komputer Asia Pasifik (APCERT) yang kumpulan 'Red Eye' juga aktif menjalankan kegiatan mereka menukar laman web pelbagai agensi kerajaan di seluruh dunia.

"Berdasarkan analisis dan kajian MyCert dalam kejadian sebelum ini, kebanyakan laman web yang menjadi mangsa penukaran laman web disebabkan terdapat ruang kelemahan dan sistem komputer yang tidak dipertingkatkan,'' jelas MyCert.

Sehubungan itu, MyCert menasihatkan kesemua pentadbir sistem dan pemilik laman web agar meningkatkan sistem mereka dengan perisian atau aplikasi terkini bagi sistem yang mereka sedang gunakan.

Sebagai langkah tambahan, MyCert juga menasihatkan agar pentadbir sistem mematikan mana-mana perkhidmatan di laman web yang tidak perlu.

Aktiviti pencerobohan laman web tersebut didapati membabitkan 98 peratus mesin-mesin yang menggunakan sistem Linux manakala selebihnya sistem Windows 2000.

Maklumat lanjut mengenai pencerobohan ini dan cara-cara mengatasinya boleh diperoleh dengan mengunjungi laman web www.mycert.org.my atau talian 03-89961901.