Penyebar e-mel fitnah akan terus diburu
23rd November 2004 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Penyebar e-mel fitnah menerusi internet akan terus diburu selagi orang awam yang prihatin melaporkannya kepada pihak berkuasa terutama polis, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaluddin Jarjis.

Beliau berkata, apa juga laporan yang diterima kementerian berhubung penyebaran e-mel fitnah akan disiasat kerana perbuatan itu jelas melanggar undang-undang.

"Pertama sekali mangsa perlu membuat laporan polis kemudian salinan laporan itu perlu dihantar kepada kita barulah kita boleh siasat siapa yang bertanggungjawab menyebarkannya.

"Bagaimanapun kuasa menahan mereka yang bertanggungjawab ada pada polis dan Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, manakala kementerian saya dan Kementerian Tenaga, Komunikasi dan Air boleh mendakwa mereka terbabit mengikut Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya di sini, semalam.

Beliau mengulas e-mel berunsur fitnah yang dihantar pihak tertentu menerusi internet bertujuan memburukkan imej seseorang atau menghina agama tertentu.

Jamaluddin berkata, demikian selepas merasmikan DKSH Corporate Shared Services Center Sdn Bhd (CSSC) di Taman Teknologi Malaysia.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif DKSH Holding Berhad (DKSH), Dr Joerg Wolle; Pengerusinya, Adrian Keller; Ketua Pegawai Penilainya, Gonpo Tsering, wakil IBM dan SAP Malaysia.

Mengenai tempoh siasatan oleh Pusat Tindak Balas Kecemasan dan Keselamatan ICT Kebangsaan (Niser) di bawah Mimos untuk mengesan penyebar terbabit, Jamaluddin berkata, ia dilakukan sebaik laporan diterima namun bergantung kepada perbincangan dengan polis.

"Ada beberapa laporan kita terima terus dari orang ramai dan ada juga dari polis yang mana semuanya kita serah kepada mereka untuk tindakan lanjut, misalnya dalam kes baru-baru ini kita sudah pun memberi maklumat kepada polis," katanya sambil merujuk kes penyanyi Siti Nurhaliza dan laman web provokasi terhadap Islam.

Terdahulu, dalam ucapannya, Jamaluddin berkata, Malaysia bersedia menerima pandangan pelbagai pihak dalam usaha memperbaiki mutu perkhidmatan rangkaiannya untuk menembusi pasaran global.

"Malaysia bersedia mengadakan perkongsian di peringkat global bagi merebut peluang pasaran yang dianggarkan mengalami pertumbuhan bernilai RM1,900 bilion (AS$500 bilion) menjelang 2008," katanya.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan supaya pengurusan DKSH mengadakan perjumpaan sekurang-kurangnya sekali dalam tempoh setahun dengan kementeriannya untuk memastikan hubungan perniagaan yang baik antara kedua-duanya.

"Kerajaan mahu memastikan pelabur yang memusatkan perniagaan mereka di negara ini akan terus kekal di sini dan pada masa sama kita juga bersedia mempertimbangkan sebarang cadangan mengoptimumkan sokongan terhadap mereka serta bagaimana Malaysia dapat terus bersaing di peringkat global," katanya.