Teknologi canggih punca sukar bendung jenayah siber
19th October 2004 (Utusan Malaysia)

KUALA LUMPUR 14 Okt. - Jenayah siber di negara ini semakin menular namun tindakan membendung kegiatan berkenaan sukar dilakukan disebabkan kecanggihan teknologi yang mampu memadamkan bukti dengan mudah.

Timbalan Menteri Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Chia Kwang Chye berkata, keadaan ini menyebabkan pihak berkuasa tidak mempunyai bukti yang mencukupi untuk mengheret mereka di mahkamah.

"Keadaan bertambah sukar sekiranya jenayah melibatkan negara luar kerana negara itu tidak mahu bekerjasama dengan polis untuk membantu siasatan,'' katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Bagaimanapun, Kwang Chye berkata, ini tidak bermakna polis mengambil mudah dalam perkara itu malahan usaha mempertingkatkan keupayaan pihak berkuasa telah dilakukan termasuk penubuhan Unit Siasatan Jenayah Teknologi di bawah Bahagian Siasatan Jenayah Perdagangan, Jabatan Siasatan Jenayah.

Menurutnya, pegawai penyiasat dalam unit itu telah diberikan latihan khas untuk menyiasat kes melibatkan komputer, Internet atau elektronik yang dijadikan sebagai medium perlakuan jenayah.

"Perbincangan dengan agensi penguat kuasa luar negara juga telah diadakan dengan negara yang mempunyai senario kes yang sama seperti Singapura, Amerika, United Kingdom dan Hong Kong,'' katanya.

Kwang Chye berkata, sepanjang tahun lalu, sebanyak 850 kes melibatkan nilai RM2.9 juta telah dibawa ke mahkamah di bawah Akta Jenayah Komputer 1997.

Menurutnya, kesalahan yang ditakrifkan di bawah Akta Jenayah Komputer itu ialah pencerobohan sistem komputer, Internet, penipuan perbankan, Mesin Pengeluaran Wang (ATM) dan penyebaran virus komputer.