W32.Mydoom.S @MM Worm serang organisasi tempatan
25th August 2004 (Berita Harian)

PUSAT Tindak Balas Kecemasan dan Keselamatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser) menerima laporan serangan virus cecacing W32.Mydoom.S @MM, versi baru bagi keluarga virus Mydoom yang mula muncul pada 16 Ogos lalu, serangan yang sama juga dilaporkan berlaku di Jepun, Korea, China dan Amerika Syarikat.

Niser dalam satu kenyataannya kepada akhbar yang dikeluarkan di Kuala Lumpur, berkata virus cecacing berkenaan merebak menerusi sistem operasi Windows 95, 98, ME, NT, 2000 dan XP menggunakan mel elektronik (e-mel) yang dilampirkan bersama salinan virus.

"Ramai yang tidak menyedari kehadiran virus berkenaan kerana ia tersembunyi dalam lampiran, sebaik saja pengguna memindah turun fail lampiran itu maka virus terbabit akan merebak dan menjangkiti komputer serta menghantar e-mel kepada alamat yang didapati di dalam buku alamat pengguna Windows," jelasnya.

Virus itu juga mempunyai beberapa nama lain mengikut pengkelasan yang diberikan syarikat antivirus yang mengesannya. W32/Mydoom.s@MM (McAfee), W32/MyDoom-S (Sophos), Win32.Mydoom.S (Computer Associates), Worm_RATOS.A (Trend Micro) dan W32.Mydoom.Q (Symantec).

Pada masa yang sama juga Niser menerima laporan wujudnya server yang menyimpan nama pengguna dan kata laluan yang diperoleh daripada akaun perbankan elektronik di Malaysia dan juga pemberi perkhidmatan Internet.

Maklumat kata laluan dan nama pengguna itu disimpan di dalam server tertentu hasil daripada aktiviti virus trojan yang dikenali sebagai PWSteal.banker.B Trojan. Virus berkenaan dikean cuba mencuri maklumat kewangan daripada browser pelayan dan perbankan.

Virus berkenaan menyerang komputer yang beroperasi menggunakan sistem operasi Windows 95, 98, ME, NT, 2000 dan XP.