Negara bebas serangan MyDoom.o
30th July 2004 (Berita Harian)

MALAYSIA antara negara di rantau Asia Pasifik yang terselamat daripada serangan virus baru cecacing MyDoom yang mula menyerang awal minggu ini di seluruh dunia.

Pengarah Pusat Tindak Balas Kecemasan Teknologi Maklumat dan Komunikasi Kebangsaan (Niser), Husin Jazri berkata, mereka tidak menerima sebarang laporan mengenai serangan virus cecacing terbaru ini.

"Pasukan Tindak Balas Kecemasan Komputer (MyCert) tidak menerima sebarang laporan mengenai serangan itu dan jawapan sama turut diperoleh dari Singapura dan Hong Kong," katanya.

Serangan cecacing baru ini tidak mencatat jumlah jangkitan yang besar di rantau ini sebagaimana berlaku sebelum ini berkaitan dengan virus.

Pengarah Urusan Symantec Australia, John Donovan berkata, kebanyakan serangan virus sebelum ini, Asia Pasifik termasuk Jepun akan mencatat antara lima peratus dan 10 peratus bagi jumlah kerosakan seluruh dunia.

Namun begitu katanya, serangan baru-baru ini adalah sesuatu di luar dugaan memandangkan jumlah peratusan jangkitannya di Asia Pasifik adalah kurang satu peratus.

"Di Asia Pasifik, kami dapati tidak ada kesan besar daripada apa yang berlaku di Amerika Syarikat (AS) yang melaporkan enjin carian Internet utama lumpuh akibat serangan virus itu," katanya.

McAfee, yang membuat penilaian terhadap virus baru itu juga mengesahkan mereka tidak melihat serangan jangkitan MyDoom.o di rantau ini.

"Kebanyakan laporan diterima mengenai serangan virus baru ini datangnya dari Eropah dan AS," kata Pengarah Pemasaran McAfee, Allan Bell.

Kedua-dua syarikat itu menganggap kadar jangkitan yang rendah pada ketika serangan virus itu kerana ia berlaku pada sebelum malam di kebanyakan negara Asia Pasifik dan syarikat sudah menggunakan rumusan perlindungan pada sebelah pagi bagi melindungi sistem mereka.

Selain itu, Donovan juga percaya kadar jangkitan rendah di Asia Pasifik itu adalah usaha industri dalam mendidik pengguna supaya mengambil langkah perlindungan keselamatan sistem tertentu.

"Pengguna sudah diajar mengenai ini dan mereka kini sudah mahir seperti berurusan dengan sisipan e-mel," katanya.

Beliau menegaskan, AS dan Eropah mencatat 60 peratus dan dunia 30 peratus akibat jangkitan itu manakala Amerika Latin hanya satu peratus.