Pakar siber songlap
26th September 2006 (Harian Metro)
By Efindi Badarudin

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya tujuh anggota satu sindiket dianggotai beberapa lelaki tempatan yang pakar dalam bidang teknologi maklumat, dikesan menggunakan kemahiran mereka mencuri wang orang ramai melalui sistem perbankan internet.

Menurut sumber, anggota sindiket itu ditahan dalam beberapa serbuan polis baru-baru ini dan pihak berkuasa percaya dapat menyelesaikan beberapa kes kehilangan wang pelanggan melalui sistem perbankan internet.

Difahamkan, pakar siber terbabit memancing mangsanya dengan menghantar e-mel sebelum meminta mereka memperbaharui atau mengemas kini akaun bank melalui internet.

Kegiatan sindiket jenayah terancang itu bermula Mei lalu dan difahamkan beberapa mangsa di negara ini turut mengalami kerugian berikutan kegiatan licik penyangak siber itu memperdaya mangsanya.

Berikutan itu, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman melancarkan gerakan mengesan penjenayah terbabit sebelum menahan beberapa anggotanya.

Sindiket itu mampu memindahkan wang daripada akaun bank mangsa dalam sekelip mata selepas mangsa diperdaya melalui laman web palsu yang seolah-olah dikirimkan pihak bank yang menyediakan perkhidmatan perbankan internet.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Ramli Yusuff sebelum ini dilaporkan berkata, pihaknya mengesan kegiatan suspek yang menghantar arahan dengan meminta mangsa memperbaharui atau mengemas kini akaun bank melalui internet.

Menurutnya, mangsa biasanya membuka laman web palsu terbabit dan menekan 'klik' pada sambungan laman web palsu yang direka khas oleh penyangak siber itu.

"Sejurus itu, satu laman web perangkap yang dibangunkan penjenayah akan dipaparkan di skrin komputer mangsa.

"Melalui laman web perangkap itu, mangsa diminta mengemas kini 'user name' dan kata laluan (password) pada laman web terbabit. Mangsa yang menyangka e-mel itu dihantar bank kemudian mengikut arahan diberikan," katanya.

Menurutnya, tindakan itu menyebabkan penjenayah mendapatkan semua maklumat dan kata laluan milik mangsa tanpa disedari.

"Penjenayah licik itu akan memindahkan wang daripada akuan mangsa secara haram atau digunakan untuk membuat pembayaran melalui internet.

"Mangsa hanya menyedari sesuatu tidak kena apabila mendapati wang simpanan dalam akaun banknya susut tiba-tiba," katanya.