Jenayah siber ancaman baru dunia
8th May 2006 (Berita Harian)

KUALA LUMPUR: Inisiatif Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menubuhkan Institut Kerjasama Pelbagai Hala Antarabangsa Memerangi Keganasan Siber (Impact) yang pertama di dunia tepat pada masanya bagi menghadapi ancaman pengganas siber yang mampu melumpuhkan kedaulatan sesebuah negara.

Pengarah Pusat Keselamatan dan Tindak Balas Kecemasan ICT Kebangsaan (Niser), Lt-Kol (B) Husin Jazri, berkata, Malaysia mampu melaksanakan tanggungjawab itu kerana mempunyai hubungan yang baik dengan negara Barat dan Islam.

Beliau berkata, cadangan yang diumumkan Perdana Menteri adalah unik kerana ia adalah yang pertama di dunia serta menggabungkan banyak pihak seperti kerajaan dan swasta di seluruh dunia.

Katanya, masyarakat dunia perlu memandang berat terhadap serangan siber kerana ia mampu melumpuh sistem pertahanan dan ekonomi sesebuah negara.

"Jenayah siber adalah termasuk pencurian maklumat penting kerajaan dan maklumat risikan dalam komputer. Mereka menggunakan internet sebagai perantara komunikasi untuk melakukan keganasan pada peringkat nasional dan global," katanya.

Kelmarin, Abdullah yang menghadiri Kongres Sedunia Mengenai Teknologi Maklumat 2006 (WCIT) di Austin, Texas, mengumumkan penubuhan Impact yang akan beroperasi di Koridor Raya Multimedia (MSC).

Malaysia akan menjadi platform kepada kerajaan seluruh dunia bertukar idea serta berkongsi kepakaran dalam mencari kaedah terbaik dalam menangani ancaman keganasan siber.

Timbalan Dekan, Hal Ehwal Akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Dr Ida Madieha Abdul Ghani, berkata, ini adalah masanya untuk masyarakat antarabangsa bekerjasama menghadapi ancaman serangan siber.

Beliau yang juga pensyarah Undang-Undang Harta Intelek, berkata, serangan siber sangat bahaya kerana ia boleh memasuki prasarana maklumat kebangsaan seperti operasi kerajaan, perkhidmatan perubatan, telekomunikasi dan sistem maklumat, perkhidmatan utiliti, pengangkutan, perbankan dan kewangan, perkhidmatan awam serta pertahanan.

Beliau berkata, ancaman siber boleh datang dalam pelbagai bentuk seperti risikan musuh untuk mendapatkan maklumat penting mengenai keadaan politik, pertahanan dan ekonomi atau pengganas siber yang hendak mengganggu ketenteraman negara.

"Serangan siber menjadi begitu mudah sekarang disebabkan kita semua bergantung kepada komputer dan internet. Dengan itulah, kita memerlukan perlindungan daripada ancaman pengganas siber ini," katanya.