Polis perlu kuasa KPN - Akta baru dakwa penganjur pelaburan Internet haram perlu digubal
14 Jun 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh Ruhaidini Abd. Kadir

KUALA LUMPUR 13 JunĀ  Satu akta baru berhubung skim pelaburan Internet perlu digubal bagi memastikan penguatkuasaan dan pengawalan dapat dijalankan dengan berkesan, di samping hukuman lebih berat dapat dikenakan ke atas penganjur skim pelaburan Internet haram.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menegaskan, perkara tersebut penting bagi memberi kuasa kepada polis menahan dan mendakwa penganjur atau pengendali laman web skim yang didapati menipu orang ramai.

Beliau berkata, pada masa ini, undang-undang sedia ada tidak banyak membantu pihak berkuasa bertindak ke atas mereka yang terlibat dalam jenayah bentuk baru ini.

Katanya, undang-undang yang diperuntukkan hanya membenarkan polis melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) menyiasat kes-kes penipuan misalnya melibatkan jual beli dan sewa tanah, bantuan kebajikan, loteri, pinjaman Ah Long, gores dan menang, khidmat bomoh, sistem pesanan ringkas (SMS) dan lelongan barangan kastam.

Pelaburan menerusi Internet melibatkan kutipan deposit secara haram adalah di bawah bidang kuasa Bank Negara Malaysia (BNM) kecuali ia dapat diklasifikasikan sebagai kes penipuan, katanya.

Dengan perkembangan teknologi tanpa sempadan dan masa menerusi Internet, skim ini dijangka begitu mudah menjangkaui sasaran.

Justeru, penekanan kepada pewujudan satu undang-undang khas perlu bagi membendung gejala ini daripada terus berleluasa, katanya kepada Utusan Malaysia di sini.

Musa diminta mengulas laporan muka depan Utusan Malaysia hari ini mengenai langkah BNM dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) dengan bantuan polis yang mengambil semua langkah memerangi aktiviti skim pelaburan Internet haram.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, satu pasukan petugas khas di bawah JSJK ditubuhkan untuk membantu BNM dan SC melindungi pelabur dan integriti pasaran modal Malaysia.

Polis memberi kerjasama sepenuhnya kepada BNM dan SC untuk memerangi gejala ini, katanya.

Sementara itu difahamkan, BNM telah merekodkan kenyataan beberapa orang penganjur skim cepat kaya kelmarin dalam satu gerakan besar-besaran untuk menghapuskan skim cepat kaya melalui laman web Internet.

Dalam serbuan ke atas beberapa buah pejabat pengendali skim-skim itu yang disyaki menjalankan pengambilan deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram di sekitar Lembah Klang, Unit Penyiasatan Khas BNM turut merampas beberapa dokumen, komputer dan peralatan komputer.

Kesemua penganjur-penganjur skim itu dibebaskan selepas BNM merekodkan kenyataan mereka.

Penganjur terbabit disyaki mengambil deposit secara haram dan menjalankan aktiviti pengubahan wang haram.

Aktiviti mereka disiasat mengikut Subseksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 (Bafia) dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.

Laporan sebelum ini menyebut seramai 500,000 orang rakyat Malaysia terlibat dalam pelaburan itu membabitkan pelaburan terkumpul berbilion ringgit.

Siasatan Utusan Malaysia yang dibantu pakar-pakar teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) mendapati skim tersebut yang diuar-uarkan mendapat pengiktirafan di peringkat global sebenarnya beroperasi dari beberapa lokasi di negara ini.

Maklumat dalam laman-laman web tersebut yang menyatakan kononnya pelaburan skim itu berasaskan perdagangan mata wang, pasaran hadapan komoditi, pelaburan luar persisiran dan saham-saham lain sebenarnya satu rekaan semata-mata.