Web Blog budaya siber masa kini
19 April 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh Firkhan Ali Hamid Ali

Dewasa ini, isu Blogger sering kedengaran di merata-rata tempat di negara kita termasuk dalam majalah, akhbar atau televisyen.

Namun, masih ada di kalangan kita yang tertanya-tanya berkenaan dengan Blogger ini. Apa itu Blogger?

Blogger adalah seseorang yang mengendalikan Web Blog. Apa itu Web Blog ? Web Blog adalah laman web yang berorientasikan pengguna sama seperti laman web kendalian Geocities, Tripod dan lain-lain.

Penulisan atau kandungan bagi Web Blog tersebut adalah seperti sebuah buku log atau buku catatan atau buku diari yang bersifat personal tetapi dihebahkan secara umum di Internet.

Sebelum web blog menjadi popular di kalangan komuniti digital, terdapat beberapa bentuk laman web yang digunakan mereka untuk berkomunikasi atau menyampaikan maklumat di persekitaran Internet seperti Usenet, forum elektronik, senarai kumpulan e-mel, sistem papan elektronik atau BBS dan lain-lain.

Web Blog ini bermula dengan laman-laman web personal yang ditulis secara bentuk penulisan diari.

Para penulis berkenaan menggelarkan diri mereka sebagai seorang penulis diari atau jurnal.

Justin Hall yang telah menceburi diri dalam dunia penulisan blog ini selama lapan tahun sejak 1994 lagi adalah merupakan di antara Blogger yang terawal. Beliau merupakan seorang pelajar dari Kolej Swarthmore di Amerika Syarikat.

Biasanya web blog mengandungi komentar atau berita berkenaan sesuatu perkara seperti politik, teknologi, komputer dan sebagainya.

Ia sama seperti laman web yang lain yang mengandungi teks, gambar atau pautan ke laman web lain dan kemungkinan terdapat format media yang lain seperti audio, video atau animasi.

Malah ada juga blog yang hanya fokus kepada satu jenis media sahaja seperti sama ada teks sahaja atau video sahaja atau gambar sahaja dan sebagainya.

Namun begitu ciri yang paling penting yang ada pada kesemua web blog ini adalah terdapat ruang untuk memberi komen seperti laman forum terhadap kandungan yang dipaparkan.

Penggunaan perkataan Web Blog telah dimulakan oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997 dan perkataan blog telah diperkenalkan oleh Peter Merholz.

Peter Merholz telah membuat gurauan ke atas perkataan Web Blog dengan menukarnya kepada web blog di dalam laman personalnya, Peterme.com pada Mei 1999.

Lama-kelamaan ia telah menjadi satu perkataan yang biasa digunakan bagi menunjukkan seseorang mengedit atau memuat turun maklumat ke dalam Web Blognya.

Pada peringkat awal, pembangunan Web Blog hanyalah menggunakan teknologi biasa yang digunakan untuk membangunkan laman web personal seperti HTML, CGI PERL, perisian - perisian membangunkan web dan sebagainya.

Kini, Web Blog telah menggunakan teknologi-teknologi yang terkini yang digunakan dalam pembangunan portal web seperti Web 2.0, XHTML, Ajax, CSS, REST, RSS dan sebagainya. Ia telah menjadikan Web Blog kini lebih berbentuk dinamik, disusun secara lebih teratur dan berorientasikan pengguna.

Secara umumnya Web Blog ini memiliki ciri-ciri seperti kemasukan secara satu muka sahaja (single page entry), komentar atau penulisan diletakkan secara tersusun mengikut masa dan tarikh ia ditulis. Ia dipersembahkan kepada umum menerusi Internet, mempunyai satu penulis sahaja bagi satu akaun blog dan susunan kolum-kolum di laman utama Web Blog boleh diurus susun aturnya oleh Blogger.

Penulisan Web Blog ini merupakan satu dimensi baru dalam dunia penulisan.

Dengan bantuan teknologi web dan Internet, penulisan ini dapat dibuat dengan lebih cepat dan disebarkan dengan lebih cepat dan meluas.

Walaupun penulisan Web Blog ini memberikan kebebasan kepada semua orang dalam menyampaikan idea, pendapat dan sebagainya menerusi web dan Internet, ia juga boleh tertakluk kepada undang-undang dalam sesebuah negara kerana ada Blogger yang telah menyalahgunakan kemudahan dan kebebasan ini untuk kepentingan diri sendiri.

- Firkhan Ali Hamid Ali ialah pensyarah di Fakulti Teknologi Maklumat dan Multimedia di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).