PM: Tingkat penguasaan ICT
20 Ogos 2007 (Utusan Malaysia)
Oleh HABIBAH OMAR

CYBERJAYA 20 Ogos - Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahu melihat setiap rakyat Malaysia meningkatkan penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) bagi mengelak berlakunya kemiskinan digital di negara ini.

Justeru, beliau mahu penekanan diberikan kepada usaha mengembangkan kurikulum dan fasiliti ICT ke semua sekolah di Malaysia bagi memastikan negara ini mampu mengharungi transformasi ekonomi dunia pada era berasaskan ilmu.

Menurut Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis, perkara berkenaan ditekankan oleh Perdana Menteri ketika beliau mempengerusikan mesyuarat tertutup Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) di sini hari ini.

“Dalam mesyuarat itu, Perdana Menteri juga menyatakan bahawa sektor ICT harus diperkembangkan bagi menjamin Malaysia tidak ketinggalan dalam era ekonomi baru.

“ICT adalah pemangkin visi negara dan ini bertepatan dengan wawasan Perdana Menteri untuk memperluaskan jangkauan dan pelaksanaan ICT bagi meliputi seluruh negara melalui beberapa inisiatif,” katanya.

Jamaludin berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran inisiatif pengkomputeran grid oleh Mimos Bhd. yang dikenali sebagai Knowledge Grid, The Evolution of NISER Brand into Cybersecurity.

Beliau juga menyaksikan pemeteraian memorandum persefahaman antara Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDC) dan penaja yang juga rakan niaga Kongres Dunia dalam Teknologi Maklumat (WCIT) serta pelancaran pusat kandungan kreatif animasi Malaysia.

Majlis pelancaran itu disempurnakan oleh Perdana Menteri di luar atur cara mesyuarat berkenaan.

Hadir sama ialah Menteri Penerangan, Datuk Seri Zainuddin Maidin; Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Ketua Pengarah Eksekutif Multimedia Development Sdn. Bhd, Datuk Badlisham Ghazali.

Beberapa keputusan penting termasuk isu jenayah siber telah diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

Selain itu, agenda mesyuarat itu turut membincangkan hala tuju baru Sekolah Bestari, isu kedaulatan dan keselamatan ICT, cara-cara untuk terus merapatkan jurang digital serta Minggu IT Sedunia (WIW) yang akan berlangsung dari 17 Mei hingga 22 Mei tahun depan.

Selain itu, turut dibincangkan langkah-langkah untuk mengekalkan kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang utama perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar, animasi dan kandungan digital kreatif serta aplikasi perdana.

Menurut Jamaluddin, pada masa ini masyarakat berdepan dengan cabaran ekonomi bentuk baru yang menuntut rakyat menggunakan sepenuhnya kuasa pasaran ICT bagi melebarkan dan mengukuhkan aktiviti ekonomi di peringkat global.