CyberSecurity tawar penyelamat di alam maya
17 Ogos 2007 (Harian Metro)

CYBERSECURITY Malaysia (CyberSecurity) yang bertanggungjawab dalam menyelia aktiviti komputer di negara ini, menawarkan kemudahan 'cyber999/computer emergency response' iaitu perkhidmatan bagi membantu orang ramai mengatasi masalah berkaitan komputer.

Fungsi cyber999 adalah penyelamat di alam maya sekiranya berlaku pencerobohan ke atas sistem komputer, hasutan atau fitnah, serangan dan ancaman luar atau apa saja perkara yang mencurigakan berlaku ke atas sistem komputer atau laman web.

Sekiranya seseorang itu mendapati sesuatu yang mencurigakan berlaku ke atas sistem komputer dan bimbang akan terjadi sesuatu yang tidak diingini, apa yang boleh dilakukan mereka ialah menghantar e-mel atau menghubungi terus talian cyber999 atau emel ke cyber999@cybersecurity.org.my.

Pengurusan CyberSecurity akan menghantar pasukan yang pakar dalam bidang komputer untuk melakukan siasatan.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity, Lt Kol (B) Husin Jazri, berkata hasil penjenamaan semula CyberSecurity pada Mac lalu, cyber999 adalah antara lima perkhidmatan yang diperkenalkan kepada orang ramai.

Beliau berkata, empat lagi ialah cyber Forensics, security assurance, security management dan best practices training and outreach.

Husin berkata, CyberSecurity ialah pusat koordinasi setempat untuk keselamatan pengguna siber kebangsaan bermatlamat melindungi, membimbing, promosi di samping merangka strategi dalam menangani isu keselamatan siber di Malaysia.

“Peranan CyberSecurity membabitkan pencegahan jenayah, penyiasatan dan penyelesaian serta meletakkan standard dan pengalaman terbaik, pengurusan perniagaan, penasihat bagi mangsa jenayah siber, mengurangkan pencerobohan ke atas sistem dan rangkaian teknologi maklumat,” katanya.

CyberSecurity di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) itu sudah beberapa kali bertukar nama sejak ditubuhkan pada 1997 yang dikenali sebagai Malaysian Computer Emergency Response Team (MyCert) dibawah kawal selia Mimos Berhad (Mimos).

Menurutnya, selepas beberapa bulan beroperasi menggunakan nama MyCert, pihaknya mengorak langkah dan mengembangkan cabang dengan menukar nama baru kepada National ICT Security and Emergency Response Centre (Niser) pada 24 Januari 1998 yang berfungsi mengawal ICT negara.

Bagaimanapun, Niser dilancarkan secara rasmi pada 10 April 2001 dan sekali lagi diberi nafas baru dengan nama CyberSecurity pada Mac lalu.

Mereka yang berminat untuk mendapatkan khidmat secara percuma itu boleh menghubungi CyberSecurity Malaysia di alamat Level 7, SAPURA@MINES, 7, Jalan Tasik, The Mines Resort City, 43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan atau talian 03 - 89926888, Fax 03-8945 3250, email: cybersecurity.org.my dan boleh melayari laman web di www.cybersecurity. org.my