Konsep, pelaburan ICT sekolah dipertingkat
20 Ogos 2007 (Berita Harian)

CYBERJAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang menggesa rakyat menguasai teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), tidak mahu melihat berlaku fenomena kemiskinan digital di kalangan masyarakat di seluruh negara.

Perdana Menteri yang mempengerusikan mesyuarat Majlis Teknologi Maklumat Negara (NITC) di sini, semalam mahu konsep dan pelaburan dalam bidang ICT dalam sistem pembelajaran di sekolah di seluruh negara dipertingkatkan seperti yang dilaksanakan menerusi projek sekolah bestari.

Selain itu, Abdullah pada mesyuarat NITC berkenaan turut membuat beberapa keputusan penting termasuk berhubung isu jenayah siber bagi memperkukuhkan sektor ICT tempatan.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Jamaludin Jarjis, berkata pada mesyuarat semalam, Perdana Menteri mengulangi bahawa kerajaan tidak mahu melihat berlaku kemiskinan digital di kalangan rakyat.

"Beliau mahu melihat setiap individu meningkatkan produktiviti menerusi penguasaan ICT yang bijak," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran beberapa inisiatif baru dalam sektor ICT tempatan selepas mesyuarat berkenaan, sini, semalam.

Ia merangkumi inisiatif pengkomputeran grid oleh Mimos dikenali sebagai 'KnowledgeGrid, The Evolution of NISER Brand into Cybersecurity', pemeteraian memorandum persefahaman (MOU) antara Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDEC) dengan rakan niaga Kongres Dunia dalam Teknologi Maklumat (WCIT) serta pelancaran pusat kandungan kreatif animasi Malaysia.

Jamaludin berkata, Perdana Menteri amat menitikberatkan pembangunan sejajar dengan nilai murni agama dan budaya seperti ditekankan dalam konsep Islam Hadhari.

"Inisiatif Cybersecurity yang dilancarkan Perdana Menteri antara lain bertanggungjawab mengawal selia kesan negatif dunia siber terhadap kepercayaan, keselamatan serta kebudayaan masyarakat negara kita," katanya.

Mesyuarat NITC semalam antara lain bertujuan mengkaji semula kemajuan sektor ICT tempatan serta membincangkan cadangan strategik yang boleh diambil bagi melonjak keupayaan negara dalam persekitaran global yang diterajui teknologi.

Mesyuarat menumpukan perhatian kepada usaha dilakukan pelbagai agensi kerajaan yang bertanggungjawab dalam pembangunan ICT negara MDEC), Mimos Bhd, Cybersecurity serta WCIT yang akan dihoskan Malaysia tahun depan.

Mesyuarat tertutup itu turut membincangkan langkah mengekalkan kelebihan daya saing Malaysia dalam bidang utama perkongsian perkhidmatan dan penyumberan luar, animasi dan kandungan digital kreatif serta aplikasi perdana.

Agenda lain dibincangkan ialah hala tuju baru Sekolah Bestari, isu kedaulatan dan keselamatan ICT, kaedah merapatkan jurang digital serta penganjuran Minggu Teknologi Maklumat (IT) Sedunia 2008 (WIW) yang dijadualkan pada 17 Mei depan.

WIW termasuk Mesyuarat Panel Penasihat Antarabangsa Tahunan Koridor Raya Multimedia, WCIT, Pakatan Global ICT dan Forum Pembangunan serta Mesyuarat Menteri-Menteri ICT Asean.

Kenyataan akhbar dikeluarkan sempena Mesyuarat NITC menyebut, sebagai teras Misi Nasional digariskan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), ICT mempunyai peranan penting membantu ekonomi Malaysia meningkatkan rangkaian nilai.

Menurut kenyataan itu, kerajaan merancang memanfaatkan ICT bagi memodenkan industri sedia ada serta sumber baru kekayaan dan menjana tenaga kerja mahir.

"Perbincangan NITC memberi tumpuan kepada usaha memastikan kejayaan berterusan bagi pembangunan ICT dan sumbangannya ke arah menjadikan Malaysia sebagai destinasi menarik untuk pelaburan berasaskan ICT melalui pelan hala tuju strategik," katanya.