Ibu bapa pembuli siber kena tindakan mahkamah
Britain arah keluarga hadir kelas keibubapaan, denda RM7,000

16 September 2006 (Berita Harian)

LONDON: Britain akan mengenakan denda sehingga £1,000 (RM7,000) ke atas ibu bapa ?pembuli siber? atau pelajar yang terbabit membuat ancaman kepada rakan menerusi telefon bimbit, e-mel, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan laman web sosial di internet.

Selain didenda, ibu bapa terbabit diarahkan mengawal tindak tanduk anak atau mereka sebaliknya diwajibkan menghadiri kelas keibubapaan serta dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan jenayah.

Akhbar Daily Mail melaporkan semalam, Kabinet Britain berhasrat menggunakan kuasa mendenda ibu atau bapa yang terbukti gagal menangani sikap buli anak mereka.

Tindakan itu sebahagian pelan yang diumumkan Jun lalu bagi mengekang masalah buli di sekolah.

Malah, Setiausaha Pendidikan Ed Balls akan mengumumkan pendirian tegas itu minggu depan yang menjadi garis panduan kepada sekolah dan ibu bapa bagi mengatasi masalah buli yang kian membimbangkan itu.

Kementerian itu menyokong langkah dikenali ?bilik selamat? dan kawasan khas di taman permainan yang menjadi tempat mangsa buli mendapatkan bantuan ketika berlakunya kejadian.

Kalangan pengkritik sebaliknya menyifatkan tindakan itu sebagai akur kepada kehendak pembuli dan menggalakkan jenayah berkenaan.

Garis panduan baru itu antara lain bertujuan mengukuhkan peraturan sedia ada dengan menjelaskan bentuk hukuman kepada pesalah buli seperti didenda mengutip sampah.

Ia turut memperluaskan perbuatan ancaman atau ugutan menerusi internet dan SMS. Pihak sekolah juga dibenarkan menggunakan kuasa yang ada untuk membuang pelajar yang tidak serik dan disyaratkan kepada pelajar yang pernah dihukum sekurang-kurangnya dua kali bagi kesalahan sama,? kata pekeliling yang dipetik Daily Mail.

Ia pertama kali menyaksikan pengetua menguatkuasakan hak termasuk mengeluarkan perintah ke atas ibu bapa pelajar terbabit.

Sebelum ini, hanya pihak berkuasa tempatan dibenarkan mengeluarkan arahan sedemikian.

Tinjauan ke atas 8,500 pelajar Britain tahun lalu mendapati sekurang-kurangnya tujuh bagi setiap 10 pelajar menjadi sasaran buli di sekolah.

Mangsa mendakwa pembuli menggunakan sekurang-kurangnya enam teknik berbeza untuk membuli mereka.

Ia termasuk perbuatan memaki hamun, membuat ugutan menerusi SMS sehingga serangan fizikal.

Masalah yang kian meruncing dan diburukkan lagi dengan kejadian mangsa buli membunuh diri, menyebabkan ramai pihak menggesa kerajaan bertindak segera mengatasi masalah.

Garis panduan itu dilihat sebagai cara menggalakkan sekolah bagi mencatat dan melaporkan semua kejadian buli yang dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan yang diharap dapat mempastikan jenayah buli berkenaan dipantau dengan lebih berkesan dan menyeluruh. - Agensi